Friday, November 26, 2010

Membantu PKS Teroka Pasaran Halal Iran

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) digesa supaya lebih berdaya saing bagi menembusi pasaran halal di Iran atau negara lain di Asia Barat yang dianggarkan bernilai RM81 bilion.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria (gambar) berkata, kebanyakan PKS tidak menyedari potensi dan peluang di negara berkenaan, maka pasaran di sana masih banyak belum diterokai.


Katanya, kementerian menerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) membantu dan menyokong penyertaan PKS yang berminat membangunkan produk dan perkhidmatan sekali gus memenuhi standard halal.

“Selain menyediakan kemudahan, HDC juga membantu PKS tempatan memasuki pasaran produk dan perkhidmatan halal terutama di Iran.


“Pasaran halal global bukan hanya terhad kepada 1.8 bilion masyarakat Islam dunia malah, ia juga merangkumi pengguna bukan Islam sekali gus membuktikan wujudnya peluang pasaran menguntungkan kepada pengusaha PKS.


“Selain itu, kerjasama yang terjalin antara HDC dan Neguin Group of Companies yang beribu pejabat di negara ini membantu mengenal pasti pasaran produk halal PKS ke negara luar terutama di Iran,” katanya ketika merasmikan Seminar Pasaran Sempadan Baru: Iran dan Asia Barat, Peluang Perniagaan Eksport Halal, di Matrade, di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, terdapat peningkatan 15 peratus nilai dagangan Malaysia ke Iran untuk tempoh lapan bulan pertama berbanding RM3.4 juta pada tahun sebelumnya.


Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin dan Ketua Dewan Perniagaan Iran (DPI), Dr Mohamad Nahavandian.

Sementara itu, Dr Moha mad berkata, kerjasama yang terjalin antara dua negara dilihat mampu menghasilkan peluang pasaran lebih berpotensi apabila rekod Malaysia tiga dekad lalu menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

No comments:

Post a Comment