Thursday, April 7, 2011

Unit Khas Pantau Kontraktor Bumiputera

ALOR SETAR 6 April – Kerajaan dicadang agar mewujudkan unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memantau dan membantu syarikat-syarikat kontraktor bumiputera yang berdaya maju untuk terus berkembang dalam sektor pembinaan.

Pengarah Urusan Usima Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, unit tersebut penting untuk mengenal pasti kontraktor yang menyiapkan kerja dengan sendiri tanpa bergantung kepada pihak lain atau terlibat dalam urusan berunsur ‘ali baba’.

“Kontraktor yang berdaya maju dan menyiapkan kerja dengan cemerlang tanpa bergantung kepada pihak lain perlu dibantu supaya perjalanan perniagaan mereka tidak tersekat.

“Sekarang ada kontraktor yang diiktiraf cemerlang tetapi menghadapi masalah kerana tiada projek baru sedangkan mereka yang mempunyai kepakaran, peralatan dan tenaga mahir terpaksa menanggung kos overhed bulanan yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Usima yang merupakan kontraktor utama bumiputera di negeri ini dengan pengalaman menyiapkan kira-kira 50 projek yang bernilai RM700 juta di utara Semenanjung sejak 1998.

Terbaru, Usima menyiapkan Kem Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah bernilai RM92 juta di Tok Jalal yang merupakan kem tentera termoden di negara ini.

Mohd. Yusof berkata, unit khas tersebut boleh memastikan syarikat-syarikat kontraktor bumiputera yang berdaya maju terus mendapat projek kementerian dan kesinambungan kerja-kerja untuk dilaksanakan sebelum ini.

Menurutnya, syarikatnya sendiri kini sudah empat bulan tiada projek baru dan dijangka terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5 juta jika keadaan itu berterusan dalam tempoh setahun.

“Usima mempunyai kesemua kepakaran dari segi peralatan, mesin, tenaga pakar, buruh dan kakitangan yang kesemuanya terpaksa ditanggung dalam overhed bulanan dan jika tiada projek baru maka syarikat kerugian besar,” jelasnya.

Beliau berkata, pemantauan unit tersebut amat mustahak kerana sektor pembinaan membabitkan lebih 120 rangkaian sektor lain seperti ekonomi setempat, bekalan bahan pembinaan, perabot, hartanah dan sebagainya dalam negara ini yang memberi impak besar kepada ekonomi.

Menurutnya, rantaian tersebut kini dikuasai oleh syarikat-syarikat bukan bumiputera.


-Utusan


No comments:

Post a Comment