Thursday, June 23, 2011

Review Gadget: Samsung Galaxy S II





>Spesifikasi 

PRODUK: Samsung Galaxy S II 
HARGA: anggaran RM2,099 (dengan pakej eksklusif Maxis) 
PENGELUAR: Samsung 
PERTANYAAN: Samsung Malaysia 
TELEFON: 1800-88-9999 
LAMAN WEB: www.samsung.com.my


Review
TELEFON pintar Android terus mendapat sambutan di pasaran, malah pengeluar peranti Korea, Samsung kini menjadikan model Galaxy S terbaru iaitu S II sebagai kunci 2011 menyaingi model kategori sama yang berada di pasaran.

Harian Metro antara akhbar pertama yang menyentuh Galaxy S II dihantar terus dari Samsung ke meja kami untuk diuji, auranya dapat dirasai dengan kuat terutama dengan kuasa paparan skrin super AMOLED Plus yang cukup mengagumkan penguji.

Rekaan hitam berkilat dengan kerangka logam yang menggunakan kaedah skrin sesentuh ‘trend’ terkini membayangkan kesediaan Samsung untuk bersaing di pasaran.

Ditambah pula peranti seringan 116 gram (0.03 gram berbeza dengan versi Galaxy S pertama) dengan saiz 8.9 milimeter (mm) kurang 1.0mm berbanding model sebelum tidak menyesakkan poket anda walaupun saiz skrinnya menjangkau sehingga 4.27 inci.

Dikuasai pemprosesan 1.2GHz dan kerangkanya pula dilengkapi satu butang kekunci saja di bahagian bawahnya, Galaxy S II menawarkan pengalaman melayari telefon pintar yang memberangsangkan.

Pada mulanya, penguji sedikit skeptikal apabila menyangka peranti ini mungkin tidak mampu menyaingi produk yang berada dalam segmen sama dengannya, namun ia ternyata meleset.

Ternyata, Galaxy tidak mengecewakan terutama dengan kelengkapan kamera 8 megapiksel di bahagian belakang serta kamera berkualiti 2 megapiksel di depan yang membolehkan anda merakam video HD sehingga 30 kerangka sesaat (fps).

Cuma, kualitinya perlu dipertingkatkan lagi untuk menghasilkan foto berkualiti tinggi setanding resolusi 8 megapikselnya.

Lain pula dengan paparan 4.27 incinya yang berkuasa AMOLED Plus bermakna pengguna bakal menikmati kualiti imej jelas walaupun pada jarak yang jauh di bawah sinaran matahari.

Berbekalkan perisian pintar, penguji kagum dengan sistem operasi Android 2.3 Gingerbread yang mempamerkan panel untuk mengakses beberapa aplikasi seperti Facebook secara pantas di skrin utama serta paparan foto atau berita di ruang paling atas.

Ia membenarkan tetapan ikon seperti nombor telefon, akaun laman sosial dan sebagainya di bawah satu menu, sekali gus memudahkan pengguna berhubungan dengan cekap.

Contohnya, pengguna boleh melihat status Facebook dan IM rakan yang didapati pada satu ikon tanpa perlu menyemak laman ke laman.

Penguji turut tertarik dengan elemen antaramuka Android baru yang mana ia memuatkan berita dan jadual harian pengguna, kalendar disepadukan dengan aktiviti pada satu menu jika pengguna menetapkannya sebagai muka depan telefon.

Bersandarkan platform terbabit, Samsung Galaxy S II turut dilengkapi sistem Internet pantas untuk pengalaman pelayaran mantap yang ditagih pengguna.

Bagaimanapun, penguji kurang bersetuju dengan penutup bateri di bahagian belakang yang mempunyai plastik nipis seakan mahu patah apabila penguji cuba membukanya.

Tujuannya mungkin untuk menjadikan peranti ini ringan, tetapi Samsung perlu bijak untuk menggantikannya dengan bahan buatan yang berbeza.

Di sebalik kekurangan terbabit, penguji mendapati Samsung Galaxy S II berkemampuan untuk menjadi produk paling unggul tahun ini!

No comments:

Post a Comment