Friday, July 22, 2011

Kerajaan Umumkan RM100 Juta Kepada 607 Kampung Baru Di Seluruh Negara

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan dana pinjaman yang memberi manfaat kepada 1.2 juta penduduk di 607 kampung baru di seluruh negara.

Menerusi dana tersebut, kerajaan menyediakan dana pusingan sebanyak RM100 juta bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan peruntukan RM15 juta pada tahun ini, sebelum dinaikkan kepada RM35 juta (2012) dan RM50 juta pada 2013 hingga 2015.

Berucap melancarkan dana berkenaan, Muhyiddin berkata, pelancaran dana itu bukan bertujuan memancing undi masyarakat Cina sebaliknya merupakan usaha berterusan kerajaan membantu semua kaum di negara ini.


Tegas beliau, pelancaran dana itu juga tiada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dikatakan bakal diadakan tidak lama lagi.

“Kita berharap tiada pihak memutarbelitkan pelancaran dana ini kononnya mahu mendapatkan sokongan masyarakat Cina,” katanya pada majlis perasmian dana pinjaman itu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mentakab 1 dekat sini.

Turut hadir pada majlis yang disertai kira-kira 2,000 orang itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Muhyiddin menjelaskan, dana pinjaman tersebut merupakan antara usaha kerajaan membasmikan kemiskinan di kalangan rakyat pelbagai kaum.

‘‘MCA antara pihak yang berusaha mewujudkan dana ini bagi membantu masyarakat Cina di kampung-kampung baru,” jelasnya.

Sementara itu, Chee Heung menjelaskan, objektif program itu adalah untuk membantu penduduk kampung baru yang majoritinya masyarakat Cina memiliki hartanah selain meningkatkan taraf sosial mereka menerusi aktiviti perniagaan dan menaiktaraf keperluan tempat tinggal penduduk berkenaan.

Menurut beliau, dana tersebut meliputi tiga komponen iaitu:

* Skim A - pinjaman membiayai bayaran premium dan memperbaharui tempoh pajakan tanah kediaman.

* Skim B - pinjaman perniagaan mikro.

* Skim C - pinjaman menaik taraf rumah.

Chee Heung memberitahu, melalui dana itu, beban penduduk untuk membayar premium, memperbaharui tempoh pajakan tanah dan menaiktaraf rumah uzur dapat diatasi.

“Dana pinjaman bagi perniagaan kecil dapat meningkatkan kegiatan ekonomi setempat terutama bagi golongan muda kampung baru,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya akan mengadakan kursus latihan kemahiran kepada peminjam untuk menguruskan pinjaman bagi menjalankan perniagaan dengan kaedah terbaik sekali gus menjamin pulangan dan meningkatkan pendapatan.

‘‘Kementerian akan memantau kemajuan dan prestasi dana pinjaman itu dan melaporkan perkembangan tersebut kepada Kabinet sekurang-kurangnya setiap tiga bulan sekali,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment