Tuesday, August 23, 2011

Delima Oil Products Peruntuk RM50 Juta





DELIMA Oil Products Sdn Bhd (Delima Oil), anak syarikat Felda Holdings Bhd, memperuntukkan RM50 juta bagi perbelanjaan modalnya tahun ini untuk memperkenalkan produk keluarannya di pasaran tempatan dengan lebih menyeluruh.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Arshad berkata, pihaknya sudah mula memperkenalkan barisan produk baru kepada pasaran tempatan dengan membabitkan produk konsumer seperti mi segera, susu dan mayonis.


Beliau berkata, syarikat sebelum ini memfokus kepada pemasaran minyak masak Saji dan majerin Seri Pelangi, malah sehingga sekarang Delima Oil menguasai 30 peratus pasaran bagi minyak masak manakala 55 peratus pasaran untuk majerin.

“Kami melancarkan produk Sajimee, Susu Pekat Saji, Krimer Cair Saji dan SajiMayo pada Mei 2011 dan setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan, malah ia setanding dengan produk jenama terkenal lain yang berada di pasaran.

“Paling istimewa perasa Sajimee dibangunkan sendiri oleh Delima Oil dan menggunakan rempah asli serta menampilkan cita rasa Malaysia. Setakat ini, kami mengeluarkan empat perasa iaitu sup ayam kampung, kari, soto dan mi goreng asli,” katanya ketika ditemui di Balai Felda, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Delima Oil mengambil masa kurang setahun bagi menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) untuk barisan produk baru terbabit dan pihaknya yakin semua produk itu akan berada di seluruh negara sebelum akhir tahun ini meskipun ketika ini sudah diedarkan di 6,000 rangkaian termasuk pasar raya besar, kedai runcit dan kedai serbaneka.

“Sebanyak 70 peratus daripada seluruh rangkaian pelanggan Delima Oil sudah pun menjual produk Saji termasuk produk yang baru dan kami percaya selepas Aidilfitri ini orang ramai boleh mendapatkannya dengan lebih menyeluruh di seluruh negara berikutan harganya kompetitif selain berkualiti tinggi,” katanya.

Katanya, Delima Oil juga sentiasa berusaha untuk mengeluarkan produk konsumer untuk memenuhi permintaan orang ramai terutama mereka yang mementingkan tahap kebersihan dan status halal setiap produk yang berada di pasaran.

“Kelebihan semua produk Delima Oil ialah kami menjamin status halalnya dan ia memang melalui proses Halal Toyyiban yang bukan saja diiktiraf Jabatan Agama Islam Malaysia, tetapi standard ditetapkan Felda sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment