Tuesday, March 5, 2013

myNEF Bantu Usahawan Bumiputera

Satu organisasi bukan berasaskan keuntungan, Yayasan Usahawan Baru (myNEF) yang ditubuhkan pemain industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyasarkan membantu 3,000 usahawan teknologi Bumiputera dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 Pengerusinya, Ash­ran Ghazi berkata, bagi mencapai hasrat terbabit, myNEF yang memperkenalkan inisiatif PuSH (Pemangkin Usahawan) merangka tiga program utama iaitu rangkaian pengedaran kebangsaan, rangkaian kandungan kreatif dan perkongsian global.

 “Ia sebahagian daripada inisiatif yang disokong kerajaan untuk menambah pembabitan usahawan Bumiputera dalam perniagaan berasaskan ICT,” katanya.

 Menurutnya, myNEF mendapat kepercayaan kerajaan untuk membantu usa­hawan ICT dengan melatih mereka membangunkan perniagaan dan meningkatkan perolehan mereka.

“Paling penting, objektif utama kami adalah membantu perniagaan usahawan teknologi Bumiputera me­ngekalkan daya saing dan perniagaan mereka,” kata Ashran.

Beliau berkata, kajian myNEF pada 2010 mendapati 45 peratus daripada 485 syarikat yang berdaftar dengannya memperoleh kurang RM200,000 setahun manakala hanya 29 peratus mempunyai akses kepada pasaran antarabangsa.

“Kebanyakan syarikat terbabit datang dari segmen perkhidmatan ICT dan pasaran kreatif,” katanya. Oleh itu, myNEF akan menggunakan program kerajaan sedia ada de­ngan memainkan peranan menghubungkan usahawan kepada platform yang sesuai.

 Program pemasaran kandungan kreatif direka khusus untuk membantu syarikat kandungan kreatif yang mempunyai produk berpotensi tetapi masih gagal memaksimumkannya di pasaran global.

Sementara itu, bagi program perkongsian global, myNEF sudah mengenalpasti lokasi strategik membantu memasarkan produk ICT seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Myanmar dan Filipina. Manakala menjelang akhir tahun, myNEF menyasarkan untuk meningkatkan perolehan syarikat perisian sehingga 40 peratus.

No comments:

Post a Comment