Wednesday, March 6, 2013

PB1M Pasar Bergerak Bawah Seliaan FAMA


Jangan hairan anda mendapati sebuah bas berwarna jingga berhenti di kawasan perumahan berdekatan dipenuhi ratusan produk barangan runcit, makanan dingin dan sejuk beku serta barang keperluan atau kelengkapan dapur.

Ini kerana bas berhawa dingin itu ialah pasar mini bergerak hasil insiatif terbaru kerajaan dikenali Pasar Bergerak 1Malaysia (PB1M) bagi membantu rakyat terutama berpendapatan rendah dan sederhana mendapatkan barang keperluan dengan harga murah dan mudah.

Objektif utama PB1M adalah mengedar terus barang keperluan kepada pengguna, menangani kenaikan kos sara hidup dan mengimarahkan kesejahteraan rakyat selain memberi peluang peniaga mempromosi dan memasarkan produk industri asas tani.

NAJIB melihat barisan produk dijual Pasar Bergerak 1Malaysia ketika perasmian di Putrajaya

PB1M yang berada di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Ia mem­beri ruang kepada peniaga menjalankan perniagaan menaiki karavan dan motosikal roda tiga.

Sasaran utama ialah penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Projek Perumahan Awam di bandar, masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana serta mangsa bencana alam.

Barangan yang diperagakan dalam bas disusun dengan kemas atas rak terutama botol, tin atau dibungkus selain peti sejuk beku dan alat pendingin.

Ia turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang dihubungkan terus ke Pusat Operasi FAMA.

Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan FAMA Ab Razak Ab Majid berkata, bas PB1M akan beroperasi di taman perumahan tertentu mengikut jadual dan dikendalikan seorang pemandu dan seorang pembantu jualan.

Beliau berkata, ia juga mengadakan jualan di tapak Pasar Tani utama, ekspo, karnival jualan, pameran, program sosial dan kemasyarakatan seperti bantuan banjir serta tanah runtuh.

"Pelanggan boleh memilih barang sendiri kerana mengetengahkan konsep layan diri. Persembahan produk juga menarik, siap dibungkus dengan kemas.

"Banyak faedah yang diperoleh pengguna termasuk pembekalan terus barangan kawalan, keperluan harian, mudah mendapatkan barangan runcit dan segar setiap hari serta memastikan bekalan diperoleh secara berterusan khususnya pada musim perayaan," katanya.

Beliau berkata, setiap peniaga yang menyertai projek itu perlu mematuhi syarat ketat dikenakan FAMA terutama dari aspek kesihatan bagi memastikan pengguna memperoleh barangan selamat dan berkualiti.

"Produk berkenaan mestilah memenuhi piawaian kesihatan dan mempunyai sijil halal, antara yang dijual termasuk produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), koperasi serta produk asas tani.

"Kita memberi perkhidmatan terus ke pintu rumah rakyat di mana mereka boleh memperoleh barangan keperluan dan kawalan seperti sayur-sayuran, daging dan ayam serta buah.

"Kita merancang beroperasi tiga kali sehari mengikut jadual kawasan yang ditetapkan iaitu tengah hari, awal petang dan lewat petang," katanya

Ab Razak berkata, PB1M menggunakan slogan 'Kami Menghampiri Keperluan Anda' turut memberi peluang kepada rakyat mengemukakan cadangan bagi menambah baik perkhidmatan kementerian.

"Kita akan menyediakan borang aduan serta cadangan supaya rakyat boleh mengemukakan pandangan mereka dan maklumat itu akan disalurkan kepada kementerian atau jabatan yang terbabit.

"Ini adalah pendekatan terbaru kita untuk sampai kepada rakyat, seperti yang dilaksanakan kementerian dan jabatan lain termasuk Klinik Bergerak oleh Kementerian Kesihatan dan Mobile Sikap oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

- Metro

No comments:

Post a Comment