Friday, August 27, 2010

CIMB Bank Berhad (CIMB) menjangka menyediakan 26 mesin juruwang automatik (ATM) tunai mata wang asing di 13 lokasi strategik menjelang tahun depan.

Ketua Perbankan Runcitnya, Peter England berkata, untuk tahun ini, CIMB akan menyediakan 14 ATM tunai mata wang asing di tujuh lokasi dengan setiap lokasi mempunyai dua ATM.


“Mengikut perancangan, kami akan menyediakan 26 ATM dengan 14 daripadanya disediakan menjelang akhir tahun ini di tujuh lokasi berlainan,” katanya pada majlis pelancaran yang disempurnakan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.


Menurutnya, ATM yang diperkenalkan itu yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan menawarkan pelanggan kemudahan mengeluarkan mata wang asing pada bila-bila masa.


“Mesin itu membolehkan pemegang kad kredit dan ATM CIMB dan CIMB Islamic mengeluarkan mata wang asing iaitu dolar AS, euro, dolar Australia, yen, dolar Hong Kong, baht, yuan dan rupiah,” katanya.


England berkata, pelanggan boleh mengeluarkan empat mata wang berbeza pada satu masa dan akan dimaklumkan mengenai kadar pertukaran.


“Setiap mesin hanya mengeluarkan empat mata wang asing dan pelanggan akan dimaklumkan mengenai kadar pertukaran pada hari berkenaan,” katanya.


Menurutnya, setakat ini perkhidmatan itu hanya didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal Penerbangan Tambang Murah dan Menara Bumiputra-Commerce.


“Kami masih dalam usaha mengembangkan perkhidmatan itu ke cawangan CIMB Bank di Damansara Utama, USJ 9, Pavilion Kuala Lumpur dan Tropicana City Mall ,” katanya. - Bernama

**Sumber Harian Metro online.

No comments:

Post a Comment