Monday, August 23, 2010

SSM: Akta Terbaru Syarikat Lebih Baik

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Satu mekanisme alternatif akan diwujudkan di bawah Akta Syarikat 2011 bagi menyelamatkan syarikat-syarikat korporat yang mengalami masalah kewangan tetapi mempunyai potensi yang besar untuk maju.

Mekanisme yang dimaksudkan adalah skim pengurusan kehakiman dan penyusunan korporat secara sukarela yang memberi ruang serta peluang kedua kepada syarikat yang bermasalah.

Pengenalannya disegerakan berikutan negara boleh mengalami kerugian besar daripada aspek ekonomi jika syarikat-syarikat yang berpotensi terus terumbang-ambing tanpa hala tuju ketika menghadapi masalah kewangan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Azmi Ariffin yang merupakan individu penting dalam proses menghasilkan rang undang-undang baharu tersebut.

"Mewujudkan sesebuah syarikat yang mampu berdaya saing bukan mudah, jadi kami perlu melindungi serta menyelamatkannya daripada 'gulung tikar','' kata beliau.

Oleh itu, cadangan pindaan Akta Syarikat 1965 pada tahun depan dilihat selari dengan matlamatnya untuk membolehkan syarikat-syarikat korporat terus berkembang di negara ini.

Katanya, dengan pengenalan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) ke arah memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih baik, akta sedia ada yang digunapakai sejak 1965 didapati tidak lagi sesuai serta ketinggalan dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, akta syarikat yang ada telah dipinda sebanyak 35 kali dan terbaharu pada Ogos 2007 untuk mengatasi kelemahan serta kekangan yang boleh menyekat pembangunan industri.

Menurut Azmi berkata, akta baharu itu akan dibentangkan ke Parlimen pada tahun depan dan diharap akan diwarta segera.

"Tiba sudah masanya, kita menggantikan akta tersebut dengan yang baharu dan relevan untuk 100 tahun akan datang,'' kata Azmi sambil berkata, akta itu juga selari dengan dasar kerajaan yang lain termasuk 1Malaysia, dan Wawasan 2020.

Malah, akta berkenaan juga menggunakan penanda aras antarabangsa dengan mengambil kira penilaian daripada Worlds Bank's Doing Business Report dan International Institute for Management Davelopment's World Competitiveness Yearbook sebagai rujukannya.

Menurut Azmi, antara ciri utama Akta Syarikat 2011 ialah sesebuah syarikat yang berdaftar di negara ini boleh diperbadankan dengan penglibatan seorang ahli atau pemegang saham sahaja.

Beliau berkata, akta baharu antara lain juga tidak mengehadkan transaksi komersial yang boleh dijalankan biasanya ditetapkan di dalam memorandum penubuhan sesebuah syarikat.

Selain itu, aspek kawal selia syarikat juga dititikberatkan dengan menambah baik tahap pengurusan korporat dengan menggabungkan elemen ketelusan dan teknologi maklumat (IT).

Azmi berkata, ketika ini, terdapat banyak masalah berlaku melibatkan syarikat sendirian berhad berkenaan dengan kewajipan untuk menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang ditetapkan undang-undang sekarang.

"Undang-undang baharu akan memansuhkan keperluan mandatori tersebut dan mengurangkan takat minimum kehadiran bagi sesebuah AGM.

"Kelonggaran ini akan memberikan kesan yang positif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kebanyakannya diusahakan oleh ahli keluarga dan tidak memerlukan AGM di adakan secara formal,'' kata beliau.

Di bawah akta itu, proses membuat keputusan juga dipermudahkan dengan membenarkan syarikat sendirian berhad untuk membuat resolusinya sendiri walaupun tidak mendapat undian majoriti.

Katanya, akta baharu ini memberi faedah kepada PKS memandangkan kalangan itu merupakan pihak majoriti iaitu sebanyak 99.2 peratus daripada keseluruhan syarikat yang terdapat di Malaysia.

Azmi juga berkata, di bawah penguatkuasaan akta baharu, konsep pekerja sendiri menanggung kesalahan jenayah mereka tanpa melibatkan syarikat turut diperkenalkan.

Kata beliau, bagi menggalakkan pertumbuhan syarikat, sistem pendaftaran dan syarat kelayakan akan dipermudahkan.

Tambahnya, dengan adanya undang-undang baharu itu nanti, para pengusaha syarikat dan usahawan pasti tersenyum lebar apabila mereka tidak perlu lagi membuat pembayaran pendaftaran syarikat mengikut modal tetapi hanya mengikut sektor tertentu.

"Satu kadar rata akan diwujudkan tanpa mengira jumlah modal perniagaan dan ini akan menggalakkan syarikat memulakan perniagaan dengan modal yang lebih besar,'' tambah beliau sambil menambah, langkah itu diperkenalkan untuk memberikan keadilan kepada semua.

*Dipetik dari Utusan on line.

No comments:

Post a Comment