Thursday, August 26, 2010

MPS benarkan institusi kewangan Islam urus niaga wad

MAJLIS Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia memutuskan membenarkan institusi kewangan Islam menggunakan urus niaga hadapan mata wang asing untuk tujuan lindung nilai berasaskan wad (janji) yang mengikat pihak yang memberikan janji itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang bentuk balasan (yuran) dibenarkan ke atas pihak yang menerima janji, dengan mengambil pandangan bahawa pembiayaan tunai awal untuk urus niaga hadapan mata wang akan membawa kepada janji dua pihak yang tidak dibenarkan syarak, kata bank pusat itu dalam kenyataannya, semalam.

Bank pusat berkata, langkah itu sejajar dengan pendapat majoriti ulama bahawa wad satu pihak tanpa sebarang bentuk balasan dibenarkan dalam urus niaga hadapan mata wang.Bank pusat itu berkata, keputusan berkenaan dicapai pada mesyuarat MPS kali ke-102 pada 22 Jun lalu.

Pada mesyuarat itu, majlis berkenaan turut memutuskan bayaran manfaat takaful daripada dana risiko peserta (dana yang mengumpul tabarru (sumbangan) untuk membayar tuntutan peserta), boleh dilakukan.

Ia bagaimanapun tertakluk kepada peristiwa khusus, yang bukan saja terhasil daripada kerugian kewangan yang ditetapkan atau musibah dibenarkan, dengan syarat ia dipersetujui peserta takaful.

Keputusan itu dibuat sejajar dengan kontrak takaful yang dimeterai berasaskan konsep tabarru dan taawuni di kalangan peserta.
Bank pusat berkata, kedua-dua konsep itu membolehkan peserta bersetuju terhadap peristiwa yang membolehkan manfaat takaful dibayar.

No comments:

Post a Comment