Friday, November 26, 2010

Membantu PKS Teroka Pasaran Halal Iran

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) digesa supaya lebih berdaya saing bagi menembusi pasaran halal di Iran atau negara lain di Asia Barat yang dianggarkan bernilai RM81 bilion.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria (gambar) berkata, kebanyakan PKS tidak menyedari potensi dan peluang di negara berkenaan, maka pasaran di sana masih banyak belum diterokai.


Katanya, kementerian menerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) membantu dan menyokong penyertaan PKS yang berminat membangunkan produk dan perkhidmatan sekali gus memenuhi standard halal.

“Selain menyediakan kemudahan, HDC juga membantu PKS tempatan memasuki pasaran produk dan perkhidmatan halal terutama di Iran.


“Pasaran halal global bukan hanya terhad kepada 1.8 bilion masyarakat Islam dunia malah, ia juga merangkumi pengguna bukan Islam sekali gus membuktikan wujudnya peluang pasaran menguntungkan kepada pengusaha PKS.


“Selain itu, kerjasama yang terjalin antara HDC dan Neguin Group of Companies yang beribu pejabat di negara ini membantu mengenal pasti pasaran produk halal PKS ke negara luar terutama di Iran,” katanya ketika merasmikan Seminar Pasaran Sempadan Baru: Iran dan Asia Barat, Peluang Perniagaan Eksport Halal, di Matrade, di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, terdapat peningkatan 15 peratus nilai dagangan Malaysia ke Iran untuk tempoh lapan bulan pertama berbanding RM3.4 juta pada tahun sebelumnya.


Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin dan Ketua Dewan Perniagaan Iran (DPI), Dr Mohamad Nahavandian.

Sementara itu, Dr Moha mad berkata, kerjasama yang terjalin antara dua negara dilihat mampu menghasilkan peluang pasaran lebih berpotensi apabila rekod Malaysia tiga dekad lalu menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Thursday, November 25, 2010

KWSP Tunggu Keputusan Mesyuarat

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunggu keputusan mesyuarat pemegang saham Plus Expressway Bhd pada Disember ini sebelum memutuskan tindakan selanjutnya bersabit cadangan pengambilalihan aset dan liabiliti Plus.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Pelaburan KWSP, Shahril Ridza Ridzuan (gambar) berkata, selain kelulusan pemegang saham, dana pencen itu juga mahu mendapatkan kelulusan daripada pemegang bon dan kerajaan.


“Kami perlu membincangkan dengan kerajaan mengenai perjanjian konsesi kerana sebarang perubahan memerlukan kelulusan kerajaan terhadap konsesi,” katanya ketika ditanya mengenai tindakan KWSP selepas ia memperoleh kelulusan daripada pemegang saham Plus.

Shahril bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kemampanan Perniagaan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Sumber harian Metro.

Wednesday, November 24, 2010

ASN Diumumkan 6 Sen Seunit

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan enam sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2010.

Ia adalah peningkatan sebanyak 0.5 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan 5.50 sen seunit tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM7.3 juta yang akan memanfaatkan 10,952 pemegang unit yang melanggan 121.02 juta unit ASN 3.

Sumber Berita Harian