Friday, July 22, 2011

Kerajaan Umumkan RM100 Juta Kepada 607 Kampung Baru Di Seluruh Negara

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan dana pinjaman yang memberi manfaat kepada 1.2 juta penduduk di 607 kampung baru di seluruh negara.

Menerusi dana tersebut, kerajaan menyediakan dana pusingan sebanyak RM100 juta bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan peruntukan RM15 juta pada tahun ini, sebelum dinaikkan kepada RM35 juta (2012) dan RM50 juta pada 2013 hingga 2015.

Berucap melancarkan dana berkenaan, Muhyiddin berkata, pelancaran dana itu bukan bertujuan memancing undi masyarakat Cina sebaliknya merupakan usaha berterusan kerajaan membantu semua kaum di negara ini.

Thursday, July 7, 2011

PM Umum Pinjaman Mikro RM30 Juta


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pinjaman sejumlah RM30 juta bagi melaksanakan skim mikro kredit yang akan diuruskan oleh Yayasan Usahawan Wanita Cina Malaysia untuk golongan wanita memperluas atau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Perdana Menteri berkata, ini adalah kali pertama kerajaan memperkenalkan skim berkenaan dengan menggunakan model yang unik iaitu menampilkan kerjasama kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti.

Kata beliau, yayasan tersebut akan mengendalikan skim berkenaan bagi mengagihkan kepada lebih 4,500 pemohon yang layak selain bertanggungjawab membuat kutipan pembayaran balik mengikut tempoh ditetapkan

‘‘Cara ini lebih menjimatkan apabila kerajaan tidak perlu mengeluarkan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan agensi lain, menambah pegawai dan membuat pejabat dan sebagainya.

‘‘Setakat ini, kerajaan perlu melihat terlebih dahulu sama ada akan turut menyalurkan dana bagi skim yang sama kepada NGO lain kerana pada masa ini sudah wujud agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (Tekun),” katanya pada sidang akhbar di Dewan Persatuan Hokkien di sini, hari ini.

PUNB Beri Pinjaman RM135 Juta


Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) menyediakan pembiayaan pinjaman sebanyak RM135 juta dalam usahanya melahirkan usahawan bumiputera yang maju dan berdaya saing pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzulkifli Fadzilah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM60 juta telah diluluskan kepada usahawan di seluruh negara sehingga Julai ini.

Menurutnya, pembiayaan itu disalurkan menerusi empat skim iaitu Skim Projek Usahawan Dalam Bidang Peruncitan (Prosper), Skim Pemborong Prosper, Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Skim Prosper Siswazah.

Beliau berkata, pembabitan usahawan bumiputera dalam semua peringkat rantaian bekalan masih kecil dan kerana itu PUNB yakin mereka perlu dirangsang bagi menceburi peringkat pembuatan, pemborong, pengedaran atau peruncitan.

‘‘Sehubungan itu PUNB akan terus memberi tumpuan kepada empat skim pembiayaan pinjaman sedia ada bagi memastikan peluang penyertaan bumiputera diperluaskan dalam setiap peringkat,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan zakat PUNB sebanyak RM80,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang diwakili oleh Ketua Penolong Setiausaha (Baitulmal) MAIDAM, Marzuki Endut.

Menurut Dzulkifli, pada tahun lalu PUNB menyediakan pembiayaan lebih besar iaitu sebanyak RM200 juta.

Katanya, sejak PUNB ditubuhkan 20 tahun lalu sehingga kini sebanyak RM1.1 bilion pinjaman telah diluluskan kepada kira-kira seramai 5,000 usahawan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu PUNB juga mempunyai cawangan di Pantai Timur berpusat di Kuala Terengganu yang mula beroperasi November tahun lalu dan kawasan utara di Butterworth, Pulau Pinang pada April lalu.

Tuesday, July 5, 2011

Cara Menghasilkan Baja Organik & Racun Organik


 

PERTANIAN organik adalah satu kaedah penanaman yang tidak menggunakan baja kimia atau racun. Namun setiap tanaman tetap memerlukan baja sebagai sumber makanan dan juga sering diserang oleh serangga perosak dan penyakit.

Terdapat dua jenis baja organik iaitu baja organik buatan kilang dan baja organik buatan sendiri.

Baja organik mudah didapati di pasaran sekarang berbanding sebelum ini kerana ramai orang telah sedar kebaikan pertanian organik.