Monday, April 25, 2011

Manfaat Peluang Perniagaan Di Internet

HANYA 100,000 daripada 600,000 pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini aktif dalam segmen perniagaan online untuk menawarkan perkhidmatan dan produk mereka.

Pengarah Urusan dan Pengurus Besar PayPal Asia Tenggara dan India, Elias Ghanem mendedahkan hal itu ketika membentang kajian mengenai tabiat beli-belah online di kalangan pengguna di Malaysia. “Agak menyedihkan, kebanyakan PKS masih belum memanfaatkan dunia digital dalam memperluas perniagaan walaupun kajian menunjukkan jumlah beli-belah online di negara ini mencecah sehingga RM1.8 bilion tahun lalu,” katanya.


Menurut Ghanem, PKS tempatan perlu memanfaatkan Internet sebagai platform mengembangkan perniagaan kerana ia berupaya memperluas jaringan global.

Sunday, April 24, 2011

Review Gadget: Kyocera Echo




>Spesifikasi

PRODUK: Kyocera Echo
HARGA: tidak diperoleh
RANGKAIAN: 2G (CDMA 800 / 1900) 3G (CDMA2000 1xEV-DO)
OS: Android 2.2 (Froyo)
CPU: 1GHz Scorpion, Qualcomm QSD 8650 Snapdragon
SKRIN: 3.5 inci Dual TFT
MEMORI: 512 MB RAM / 1024 MB ROM
KAMERA: 5 MP, 2592 x 1944 piksel, fokus auto, flash LED
BATERI: Li-Ion 1370 mAh
DIMENSI: 115 x 56.5 x 17.2mm
BERAT: 193 g


Review
TELEFON biasanya satu skrin saja, kalau anda mahu saksikan peranti dwiskrin mungkin boleh jenguk produk seperti Acer ICONIA, tapi kalau mahu telefon pintar yang ‘berdwiskrin’, belilah Kyocera Echo.

Walaupun ia belum didapati di pasaran, Echo sudah hangat diperkatakan dunia telekomunikasi apabila menampilkan kelainan dalam pembuatan fizikal antaramuka peranti terbabit.
Telefon pintar berasaskan Android 2.2 itu mempunyai skrin 3.5 inci setiap satu dan boleh ditukar kepada tablet jika kedua-dua skrin bergabung menghasilkan paparan 7 inci keseluruhan.

Ia tampil dengan kamera 5.0 megapiksel dengan flash dan zum digital selain mampu merekod video format 720 piksel HD.


Kyocera membenarkan peranti dijadikan ‘hotspot’ dengan lima peranti lain boleh diakses secara maksimum.


Pemprosesannya dipelopori 1GHz Snapdragon dengan slot kad memori microSD yang siap diberikan secara percuma berkapasiti 8GB.

review Gadget: Fujitsu LIFEBOOK AH531




>Spesifikasi

PRODUK: Fujitsu LIFEBOOK AH531
HARGA: anggaran RM3,099
PEMPROSESAN: Intel Core i5-2410M (3M Cache, 2.30 GHz) Intel Sandy Bridge
OS: Windows 7 Home PremiumMEMORI: 2GB DDR3 1333MHz RAMPAPARAN: 15.6’ inci Superfine LED 16:9 TFT 1366 x 768
PEMACU CAKERA KERAS: 500GB SATA
GRAFIK: NVIDIA GeForce GT 525M 1GB VRAM dengan Optimum
SAMBUNGAN: DVD Super Multi, Atheros 802.11 b/g/n†WiFi, Bluetooth, 1.3 Camera, USB 2.0 x 3, Express Card 34/54, HDMI port
DIMENSI: 378 x 252 x 36.5mm
BERAT: 2.5kg
WARNA: hitam, putih


Review
FUJITSU PC Asia Pacific menaikkan semula semangat hiburan dalam peranti terbaru mereka iaitu Fujitsu LIFEBOOK AH531 dan LIFEBOOK NH751, notebook berprestasi tinggi memudahkan pengguna bermain atau menonton wayang kegemaran mereka.

Direka bentuk baru yang kukuh, kedua-duanya diperkasakan lagi dengan kuasa paparan grafik format NVIDIA malah menggunakan paparan HD untuk ‘streaming’ video seakan menonton filem di panggung wayang.
Pandangan pertama menyaksikan SH530 dipahat rekaan premium dengan garis perak yang bergaya dan menggunakan pemprosesan Intel Core Duo i7 hingga i3 terbaru serta dikuasakan Intel Express Chipset HM65.

Dilengkapi skrin 15.6 inci HD LED ‘back-light’ dan resolusi 1366 x 768 yang luar biasa, AH531 dipertingkat oleh prestasi grafik NVIDIA GeForce terbina yang menyokong Microsoft DirectX 11 serta 10 butang kekunci untuk game.


LIFEBOOK NH751 pula direka bagi pengguna yang mencari prestasi terbaik disokong pemprosesan Intel Core i7-640M dan teknologi NVIDIA OPTIMUS untuk GFX yang membolehkan pengalaman grafik, imej dan aplikasi video serta suara dinamik.



Menariknya, saiz skrinnya diperbesarkan sehingga 17.3 inci dengan kuasa HD penuh cukup meyakinkan kalau mahu bermain game atau menonton pada bila-bila masa di mana saja.

Turut dipasang pemain DVD-Dual Layer Super Multi Writer dan kamera web yang diserasikan dengan spesifikasi USB3.0 terkini.

Selain itu, notebook ini juga diperkemas dengan peningkatan ciri audio keliling yang dinamik menggunakan sistem DTS 5.1.


Wednesday, April 20, 2011

Review Gadget: Playbook Dipasaran Malaysia




>Spesifikasi

PRODUK: Blackberry Playbook
HARGA: anggaran RM1,499, RM1,799, RM2,099
STORAN: 6GB, 32GB, 64GB
PEMPROSESAN: 1GHz dual core
OS: QNX Neutrino
MEMORI: RAM 1GB
KAMERA: Dua HD kamera (3.0 megapiksel di depan dan 5.0 megapiksel di belakang)
FORMAT VIDEO: 1080p, H.264, MPEG, DivX, WMV
VIDEO OUTPUT: HDMI
SAMBUNGAN: Bluetooth 2.1 + EDR dan Wi-Fi - 802.11 a/b/g/n, microUSB, microHDMI
SOKONGAN: Menyokong: Adobe Flash Player 10.1, WebKit/HTML-5, Adobe Reader, Adobe Mobile AIR, OpenGL, Java dan POSIX
DIMENSI: 130 x 194 x 10mm
BERAT: 425g



DI sebalik teka-teki tarikh sebenar ia dikeluarkan di Malaysia, Research In Motion (RIM) mengurangkan sedikit keresahan apabila mendedahkan tablet pertama mereka, Blackberry Playbook akan diperkenalkan di Amerika Syarikat bermula semalam.

Ia akan dilengkapi storan pilihan berkapasiti 16GB, 32GB dan 64GB dengan harga anggaran bermula RM1,499.
Model BlackBerry PlayBook didatangkan dengan skrin sesentuh tujuh inci dan kamera berkembar definisi tinggi 5.0 megapiksel pada bahagian belakang dan 3.0 megapiksel di bahagian depannya.

Playbook tidak akanmenggunakan sistem operasi Blackberry 6 sebaliknya menggunakan teknologi QNX Neutrino yang berkuasa tinggi sepadan dengan pemprosesan 1GHz yang dibekalkan.

Sasaran penggunanya ditujukan kepada individu profesional yang bergerak seharian dalam urusan kerja masing-masing, namun pada sama mahukan peranti hiburan menemani mereka pada saiz kompak.

Ekosistemnya lengkap dengan aplikasi tersedia termasuk menyokong POSIX OS, Open GL, Webkit, Adobe Flash, Java dan Adobe Mobile AR.

Friday, April 8, 2011

Review Gadjet: Penasonic HDC-TM900




Spesifikasi

PRODUK: Kamkoder Panasonic HDC-TM900
HARGA: anggaran RM3,499
FORMAT: memori flash
LENSA: 35mm
KIRAAN SENSOR: 3 (jenis CMOS )
RESOLUSI VIDEO: 7.59MP
KADAR KERANGKA: 60i, 60p, 24p
FORMAT VIDEO: AVCHD, MPEG-4 (1080/60p & iFrame)
TEMPOH RAKAMAN: 2 jam 40 minit (1080/60p)
AUDIO: Dolby Digital (5.1 ch)
PAPARAN: 3.5 inci
DIMENSI: 69 x 138 x 66mm
BERAT: 440g


Review

Teknologi paparan semulanya kini lebih cenderung menghala ke paparan berdefinisi tinggi atau HD sejajar dengan aliran skrin paparan semula berasaskan cecair kristal (LCD) bersaiz 3.5 inci yang disediakan model terbabit.
Menariknya, model HDC-TM900 mampu memaparkan imej rakaman dengan keterperincian terutama pada resolusi yang lebih tinggi, imej lebih jelas, tajam dan warna yang terang, seolah-olah ia mengalihkan pandangan mata kasar terus ke unit pemapar terbabit.

Kamkoder ini juga memiliki pemacu cakera keras terbina dalam (220GB) dengan tambahan kad memori yang tidak mudah berubah dan boleh dipadam atau diprogramkan semula secara elektrikal membolehkannya dipindahkan antara PC atau peranti digital.

Kalau mahu merakam imej 3D, gunakan saja lensa penukar yang dijual berasingan bagi menghasilkan visual seakan depan mata.

Baca review penuh disini.


Review Gadjet: Nikon D7000



>Spesifikasi

PRODUK: Nikon D7000
HARGA: RM4,198 (badan saja)
PENGELUAR: Nikon
PERTANYAAN: Nikon (Malaysia) Sdn Bhd
TELEFON: 03-7809 3688
LAMAN WEB: www.nikon.com.my

KESELURUHAN: ****
REKA BENTUK: ****
INOVASI: ****
DOKUMENTASI: ****
HARGA: ****



Review

Boleh dikatakan, model ini bukanlah setinggi tahap D3s, tapi ia model peringkat pertengahan yang boleh dikatakan setapak lagi untuk ke tahap profesional dan ia cukup mengagumkan.

Nikon D7000 mempunyai penggunaan ISO luar biasa serta cepat memindah turun gambar seperti yang sering diidamkan penggemar DSLR.

Bukan setakat itu, penguji memiliki kebebasan untuk merakam subjek walaupun mempunyai tahap pencahayaan rendah tanpa perlu bergantung kepada ‘flash’ atau ‘tripod’, sesuatu yang sukar digambarkan sehingga anda sendiri melakukannya.

Penguji terpaksa mengakui ketagih ‘marijuana’ yang ditawarkan Nikon D7000 terutama kemampuan ISO setinggi 12,800.

Menariknya, resolusi kamera 16.2 megapiksel menghasilkan visual jelas menunjukkan prestasi kelajuan ISO tetap menjadi keutamaan tinggi untuk Nikon yang boleh menghasilkan cetakan bersaiz A2.

Model D7000 direka mantap untuk kerja ‘berat’ dan ia bekerjasama dengan baik untuk disesuaikan dengan lensa 14-24mm f/2.8, 24-70mm f/2.8, 70-200mm f/2.8, 300mm f/2.8 dan 200-400mm f/4.

Selain itu, pengguna bakal mempunyai pilihan menukar mampatan jenis RAW serta kawalan gambar untuk warna hidup atau neutral.

Ia boleh digunakan untuk apa saja persekitaran dalam hujan atau panas seperti yang diuji menghasilkan prestasi sempurna dan responsif.

Baca review penuh disini.


Thursday, April 7, 2011

Unit Khas Pantau Kontraktor Bumiputera

ALOR SETAR 6 April – Kerajaan dicadang agar mewujudkan unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memantau dan membantu syarikat-syarikat kontraktor bumiputera yang berdaya maju untuk terus berkembang dalam sektor pembinaan.

Pengarah Urusan Usima Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, unit tersebut penting untuk mengenal pasti kontraktor yang menyiapkan kerja dengan sendiri tanpa bergantung kepada pihak lain atau terlibat dalam urusan berunsur ‘ali baba’.

“Kontraktor yang berdaya maju dan menyiapkan kerja dengan cemerlang tanpa bergantung kepada pihak lain perlu dibantu supaya perjalanan perniagaan mereka tidak tersekat.

“Sekarang ada kontraktor yang diiktiraf cemerlang tetapi menghadapi masalah kerana tiada projek baru sedangkan mereka yang mempunyai kepakaran, peralatan dan tenaga mahir terpaksa menanggung kos overhed bulanan yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Usima yang merupakan kontraktor utama bumiputera di negeri ini dengan pengalaman menyiapkan kira-kira 50 projek yang bernilai RM700 juta di utara Semenanjung sejak 1998.

Terbaru, Usima menyiapkan Kem Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah bernilai RM92 juta di Tok Jalal yang merupakan kem tentera termoden di negara ini.

Mohd. Yusof berkata, unit khas tersebut boleh memastikan syarikat-syarikat kontraktor bumiputera yang berdaya maju terus mendapat projek kementerian dan kesinambungan kerja-kerja untuk dilaksanakan sebelum ini.

Menurutnya, syarikatnya sendiri kini sudah empat bulan tiada projek baru dan dijangka terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5 juta jika keadaan itu berterusan dalam tempoh setahun.

“Usima mempunyai kesemua kepakaran dari segi peralatan, mesin, tenaga pakar, buruh dan kakitangan yang kesemuanya terpaksa ditanggung dalam overhed bulanan dan jika tiada projek baru maka syarikat kerugian besar,” jelasnya.

Beliau berkata, pemantauan unit tersebut amat mustahak kerana sektor pembinaan membabitkan lebih 120 rangkaian sektor lain seperti ekonomi setempat, bekalan bahan pembinaan, perabot, hartanah dan sebagainya dalam negara ini yang memberi impak besar kepada ekonomi.

Menurutnya, rantaian tersebut kini dikuasai oleh syarikat-syarikat bukan bumiputera.


-Utusan


Wednesday, April 6, 2011

mySME: Perlindungan Untuk sektor PKS

KIRA-KIRA 500,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seluruh negara berpeluang menambah ilmu niaga membabitkan pengurusan risiko serta menikmati perlindungan menyeluruh terbaik menerusi Pelan Takaful mySME yang diperkenalkan Syarikat Takaful Malaysia Bhd (Takaful Malaysia).

Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohamed Hassan Kamil berkata, produk yang direka khusus untuk meningkatkan produktiviti serta aliran tunai bertujuan memelihara kepentingan lima sektor PKS membabitkan pembuatan ringan, makanan dan minuman, runcit, pejabat serta perkhidmatan.


Beliau berkata, pihaknya mengunjurkan pendapatan premium sebanyak RM10 juta dalam tempoh setahun pertama produk itu dilancarkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohamed Hassan Kamil, berkata walaupun banyak syarikat PKS mencatat pertumbuhan pesat, kadar penembusan insurans atau pengurusan risiko masih rendah meskipun terdapat pelbagai pilihan penyelesaian perlindungan perniagaan di negara ini.


“Perkara ini dapat disaksikan ketika krisis kewangan global antara 2008 dan 2009 lalu apabila sejumlah besar penggiat PKS di Malaysia terjejas teruk akibat kelembapan permintaan. “Oleh itu, kami menawarkan produk perlindungan komprehensif terbaik kepada golongan terbabit,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pelan Takaful mySME oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir di Kuala Lumpur, semalam.



-Harian Metro


Tuesday, April 5, 2011

Kesalaham Cetakan Wang Kertas Tidak Merugikan BNM

KUALA LUMPUR 5 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengalami sebarang kerugian atau bebanan kewangan ekoran kesalahan dalam pencetakan wang kertas Malaysia.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata ini kerana mengikut perjanjian pesanan yang ditandatangani antara BNM dan syarikat yang dilantik untuk menguruskan kerja percetakan itu, syarikat berkenaan bertanggung jawab ke atas sebarang masalah yang timbul.

"Kejadian dalam percetakan wang kertas adalah berpunca daripada percetakan yang kelihatan kurang jelas atau luntur sekiranya dibasuh menggunakan bahan cucian atau peluntur yang berat.

"Syarikat tersebut bertanggung jawab ke atas kos, bayaran atau apa-apa tanggungan lain sekiranya berlaku sebarang masalah berpunca daripada kegagalan pihak syarikat tersebut dalam melaksanakan kontrak percetakan yang diberikan,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

- Bernama

Monday, April 4, 2011

Virtual Mall: Siap Sebelum 2012

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melaksanakan Projek Virtual Mall di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi membangunkan sektor perdagangan elektronik sebelum Disember 2012.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, berkata projek itu akan memberi peluang kepada usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menggunakan platform berasaskan elektronik sebagai kaedah alternatif dalam memasarkan produk perniagaan ke peringkat global.

"Kejayaan projek jangka masa panjang ini akan menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM0.83 bilion serta mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 6,629 menjelang tahun 2020," katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) yang ingin tahu hasrat kementerian untuk melahirkan usahawan Internet secara meluas pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, penekanan dan perhatian yang serius dalam perdagangan elektronik atau online diberikan kerana ia akan menjadi pemacu dan pemangkin kepada perkembangan dan petumbuhan ekonomi domestik.

"Usaha-usaha yang dirangka ke arah menggalakkan penggunaan perdagangan elektronik sudah tentu akan membantu usahawan dan golongan PKS dalam menceburi industri ini," katanya.

Tan berkata, kementerian sedang merangka program yang bertujuan menggalakkan pembabitan peniaga dalam perdagangan elektronik serta membina keyakinan pengguna dalam menjalankan transaksi elektronik.

Pada masa sama, beliau berkata Akta Perdagangan Elektronik 2006 sedang dikaji untuk dipinda bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan elektronik di Malaysia.
"Salah satu pindaan yang dicadangkan ialah tanggungjawab peniaga dalam memastikan maklumat penting dipaparkan dalam laman web," katanya.

Tan berkata, beliau yakin inisiatif itu dapat menambah keyakinan pengguna untuk menjalankan transaksi perniagaan dengan lebih mudah.

- BERNAMA


Penyakit Tanaman Cili

CILI merupakan bahan utama dalam masakan seharian. Hampir semua lauk-pauk yang dihidangkan setiap hari mempunyai cili dalam ramuannya. Sama ada kari, masak lemak, sambal tumis semuanya mempunyai ramuan cili di dalamnya.

Bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui masalah yang dihadapi oleh petani yang menghadapi pelbagai masalah terutama makhluk perosak dan penyakit.

Timbalan Pengarah yang juga Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Program Pengurusan Perosak dan Penyakit, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor berkata, tanaman cili di negara ini terdedah dengan serangan serangga perosak dan penyakit tanaman.

"Terdapat tiga jenis cili yang biasa ditanam di negara ini seperti cili merah dan cili hijau, cili sayur (cili benggala atau capsicum) dan cili padi," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun hanya cili merah dan cili sayur yang ditanam secara komersial manakala cili padi pula secara kecil-kecilan.

Setiap tahun keluasan kawasan penanaman cili adalah lebih kurang 4,000 hektar.

Dr. Mohamad Roff berkata, tanaman cili terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti kulat, bakteria dan virus serta pelbagai jenis serangga perosak.

"Virus merupakan perosak yang penting dalam tanaman cili. Penyakit virus cili mula dikesan pada 1947 oleh saintis British bernama Burnett tetapi malangnya tiada teknik pengawalan yang canggih ketika itu," katanya.

Penyakit yang menyerang pokok cili biasanya boleh dikawal di peringkat:

*Semaian Bermula di rumah semaian yang diletakkan dalam jaring serangga bersaiz 24 mesh, biasanya anak benih diletakkan dalam rumah semaian selama 30 hingga 35 hari atau mempunyai enam atau tujuh helai daun.

*Ladang Biasanya cili ditanam di atas batas dengan satu lapisan plastik bersinar yang bertindak mengawal rumpai yang mengawal rumpai yang menjadi perumah virus dan vektor, mengekalkan kelembapan tanah untuk akar, menghalang baja dilarikan air, menghalang vektor singgah di pokok, meningkatkan kadar fotosintesis pokok dan mengurangkan kos. "Kawalan penting pada bulan pertama sehingga ke bulan ke tiga semasa pokok cili mula berbunga dan kemudian berbuah dan selepas bulan kedua petani disaran menyembur racun untuk mengawal vektor.

"Biasanya terdapat dua jenis racun yang digunakan adalah organoklorin (tidak digunakan lagi), organofosfat, carbamate, pyrethroid (racun yang disintesis daripada pokok) dan nicotionid (racun Kelas IV)," katanya. Sebelum mula menanam, petani perlu memastikan varieti cili yang rintang kerana pokok cili terdapat tiga ciri utama iaitu bentuk terbuka atau V, kompak dan sujud. Biasanya kutu daun sukakan pokok cili berbentuk kompak dan sujud dan sebenarnya tiada pokok cili yang rintang kepada penyakit.

Bagi mengawal penyakit dan perosak, petani akan melakukan semburan terus kepada pokok yang biasanya akan membunuh semua serangga termasuk musuh semulajadi. Kini dengan racun nicotionid, petani hanya menyiram racun di pangkal pokok dan kajian oleh Jabatan Pertanian di Melaka mendapati kaedah berkenaan berkesan mengawal virus. Selain itu selingan tanaman cili dan tanaman lain seperti jagung dapat menghalang aphid sebagai vektor. Masalahnya kitaran hidup aphid di negara ini tidak sama dengan negara empat musim kerana di tropika aphid beranak manakala di kawasan temperate, ia bertelur. Kini kajian bioteknologi sedang dijalankan bagi mendapatkan varieti cili yang rintang terhadap penyakit dan perosak terutama CMV.

-Utusan Malaysia


Sunday, April 3, 2011

Apa Itu Rawatan Perubatan Homeopati

Dalam merawat penyakit, terdapat pelbagai kaedah dan rawatan alternatif yang disediakan bagi mengurangkan penyakit yang dialami. Salah satunya yang semakin mendapat tempat bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia adalah kaedah rawatan homeopati.

Homeopati adalah satu sistem perubatan alternatif yang memberi sumbangan kepada kesihatan manusia selama lebih dari dua abad. Rawatannya menggunakan ubat-ubatan yang bertindak merangsang sistem pemulihan diri pesakit bagi melawan penyakit yang dideritai.



Perubatan homeopati bermula 1929



Di Malaysia, sistem perubatan homeopati diasaskan Profesor Dr Burhanuddin Helmy. Beliau membawa masuk dan memperkenalkan kaedah ini pada 1929 selepas mendapati ia berjaya menyembuhkan penyakit lelah yang dialaminya.

Konsep dan undang-undang homeopati bermula sejak zaman Hippocrates, iaitu seorang pakar perubatan Greek kurun kelima sebelum Masihi. Dalam menjalankan perawatan, pakar perubatan Greek itu menamakan kaedah yang dipakainya sebagai ‘Similia Similibus Curentur’ iaitu bermaksud ‘serupa disembuhkan oleh serupa’.

Pada tahun 1790, salah seorang pakar perubatan homeopati bernama Dr Samuel Hahnemann, menterjemahkan penemuannya secara praktikal dan kajian saintifik dengan bahan uji bukti kuinin dalam rawatan malaria.

Perubatan ini menggunakan sumber dari bahan semula jadi seperti galian dan tumbuhan. Sebagai contoh, arang boleh digunakan untuk merawat penyakit gastrik dan garam pula boleh digunakan untuk merawat kelesuan.

Antara penyakit lain yang boleh dirawat dengan menggunakan perubatan ini termasuk asma, strok, diabetes, resdung, tekanan darah tinggi, sawan, migrain dan penyakit kronik lain.



Jana pendapatan cecah nilai bilion



Di Amerika Syarikat (AS), industri ini menjana pendapatan dengan jumlah mencecah US Dolar lapan bilion setahun, di mana peningkatan jualan ubat-ubatannya meningkat 1,000 peratus sejak empat tahun lalu.

Di Perancis, lebih satu perempat penduduk menggunakan perkhidmatan perubatan homeopati sementara di Britain, penambahan penggunaan terhadap perubatan ini bertambah dua kali ganda setiap dua tahun.

Manakala di India dan Pakistan, perubatan ini menyumbangkan berbilion rupi kepada ekonomi negara. Di United Kingdom, nilai pasarannya adalah 46 juta menjelang 2012.

Perubatan jenis ini juga adalah sistem perubatan kedua terbesar di dunia seperti yang dipraktikkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di lebih 80 buah negara dan digunakan jutaan orang di seluruh dunia.

Nilai pasaran dunia bagi industri ini adalah lebih dari 2.7 bilion dolar dengan Perancis memegang pasaran kira-kira 405 juta diikuti Jerman dengan jumlah hampir 270 juta dolar.

Dengan pertumbuhan tahunan terkini sebanyak 25 peratus, nilai pasaran dunia bagi industri ini dijangka akan mencecah 11 bilion menjelang 2017.

Selain dari negara terbabit, India juga antara negara yang mencatatkan kadar pertumbuhan tinggi iaitu mencecah RM2.7 bilion tahun ini, didorong kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 30 peratus sekali gus menjadi penyumbang kedua terbesar selepas Perancis.

Tahun lalu, saiz pasaran homeopati domestik bernilai kira-kira RM1.5 bilion, dan kajian Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri India (Assocham) menunjukkan, dalam tempoh 2009 hingga 2010, kira-kia 120 juta pesakit India menggunakan kaedah ini untuk merawat pelbagai jenis penyakit yang dihadapi.

Setiausaha Agung Assocham, DS Rawat berpendapat, jumlah ini berkemungkinan melebihi 160 juta dalam dua hingga tiga tahun akan datang disebabkan perubatannya yang semakin diterima ramai.

Melalui tinjauan yang beliau lakukan, lebih 75 peratus pesakit memandang tinggi perubatan jenis ini walaupun ia mengambil masa yang lama untuk menyembuhkan penyakit.

Selain bersifat peribadi kerana interaksi tertutup antara tabib dan pesakit, ia juga selamat dari sudut psikologi kerana tiada kesan sampingan, dan bayaran rendah yang dikenakan menjadi faktor mengapa ramai yang memilih kepada perubatan ini.

Sebagai antara negara yang mempunyai nilai pasaran tinggi, India turut mengeksport produk homeopatinya ke Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom, malah India juga mengimport produk dari negara ini.

Destinasi utama pengeksportan produk adalah Jerman dengan 90 hingga 95 peratus dan nilai eksport di Amerika Syarikat meningkat sejak 1992 hingga 1993. Antara negara membangun lain yang dieksport produknya termasuk Rusia, Ukraine dan Sri Lanka.


-Sinar Harian


Cara Penjagaan Lembu Pedaging

TERNAKAN lembu pedaging di Malaysia menjanjikan pulangan yang tinggi kerana penggunaan daging lembu negara semakin meningkat manakala bekalan masih tidak mencukupi.

Lembu boleh di klasifikasi dalam famili Bovidae manakala spesies Bos taurus untuk lembu dari iklim hawa sederhana manakala Bos indicus untuk lembu dari iklim tropika.

Ciri-ciri fizikal lembu pedaging yang ideal berbentuk bongkah atau segi empat serta mempunyai badan tegap dan berotot.

Antara lembu yang banyak dipelihara adalah lembu baka tempatan iaitu Kedah Kelantan (KK) dan Brahman baka lembu tropika yang mempunyai ketahanan terhadap parasit luar, tekanan haba serta cuaca panas selain tahan terhadap penyakit.

Baka Hereford adalah baka lembu pedaging iklim sederhana mampu memiliki berat matang 830 kg bagi lembu jantan dan 540 kg bagi lembu betina.

Baka lembu pedaging yang lain seperti Droughmaster, Simmental, Angus Charlois Shorthorn dan banyak lagi.


-Utusan Malaysia



RM108 Billion Lesap Setiap Tahun

PUTRAJAYA 2 April - Dianggarkan RM108 bilion yang sepatutnya menjadi pendapatan negara setiap tahun lesap manakala lebih RM10 bilion lagi dipindahkan secara haram ke luar negara.

Kerugian itu dikesan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, angka kerugian itu dianggarkan akibat aktiviti pemindahan wang secara haram melalui beberapa cara termasuk taksiran kurang, transaksi tanpa rekod serta penyeludupan wang.

"Akibat tindakan 'tangan-tangan kotor' ini, negara mengalami kerugian apabila hasil pendapatan lesap manakala wang rasuah yang diperolehi mereka dipindahkan secara haram ke luar negara.

"Berikutan itu, SPRM mengadakan 'Operasi 3b' iaitu sasaran kita mengembalikan semula RM3 bilion hasil pendapatan negara yang lesap," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mustafar berkata, hasil operasi itu, sebanyak 62 orang pegawai JKDM telah ditahan dan sejumlah RM602 juta wang dibekukan, selain RM382 juta disita manakala RM31.2 juta dilucut hak harta.

"Kita siasat semua kes dan tangkapan ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganas 2001 dan kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah melibatkan wang berjumlah RM1.2 bilion," katanya.


-Utusan Malaysia


Friday, April 1, 2011

Rumah Rakyat: Rumah Mampu Beli

Mempunyai tempat perlindungan, makanan yang mencukupi, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang baik adalah hak asasi manusia untuk semua rakyat negara ini. Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan bahawa majoriti rakyat, sama ada boleh memiliki rumah mereka sendiri atau mampu untuk menyewa rumah perumahan awam.

Malangnya bagi rakyat Malaysia, rumah yang termampu sukar diperoleh. Harga rumah telah meningkat kepada paras sangat tinggi di bandar-bandar utama sehingga golongan pertengahan sekalipun tidak mampu untuk memiliki rumah atau apartmen, apatah lagi golongan bawahan.

Pada 2009, purata harga rumah di Kuala Lumpur ialah RM390,000, iaitu hampir enam kali purata pendapatan isi rumah. Keadaannya lebih buruk di Pulau Pinang di mana purata harga rumah ialah RM540,000 atau 8 kali purata pendapatan isi rumah. Jelas ia jauh dari jangkauan keluarga yang berpendapatan sederhana. Nisbah harga rumah kepada pendapatan isi rumah, iaitu tiga hingga empat kali adalah diterima di peringkat antarabangsa.

Masalahnya bukanlah ketidakcukupan rumah, tetapi penawaran dan permintaan untuk rumah tidak sepadan. Majoriti rakyat Malaysia mahukan rumah yang mampu untuk dimiliki tetapi pemaju membina rumah yang tidak mampu dibeli oleh mereka. Pemaju lebih cenderung memenuhi permintaan pelabur dan spekulator yang membeli untuk menyewa atau menaikkan harganya dan mengaut untung.

Ramai daripada mereka ini memiliki dua rumah atau lebih. Pada hakikatnya kita sedia maklum bahawa pemaju memberikan keutamaan dan menyimpan unit terbaik kepada pelanggan yang membeli unit berganda sebelum projek dilancarkan secara rasmi. Pembeli rumah biasa kemudiannya terpaksa beratur dan menerima unit yang tidak berapa dikehendaki atau membelinya daripada pelabur yang biasanya pada harga tinggi.

Pihak pemaju ke luar negara untuk memasarkan hartanah itu secara agresif memandangkan ia masih murah mengikut standard antarabangsa. Pada hakikatnya, kerajaan telah menyalah letakkan keutamaan ini dengan membantu proses ini dengan menggalakkan orang asing untuk melabur bukan hanya dalam apartmen tetapi juga hartanah. Tidak seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand, Malaysia merupakan salah sebuah negara di Asia Tenggara yang membenarkan orang asing memiliki hartanah.

Bank juga turut menyumbang kepada kenaikan harga rumah melalui pelbagai teknik pemasaran yang agresif. Mereka melonggarkan standard kredit dan sanggup untuk meminjamkan sehingga 95 peratus daripada nilai hartanah. Mereka menawarkan secara berubah-rubah, berbanding pinjaman kadar tetap, untuk mengurangkan ansuran awal dalam persekitaran kadar faedah rendah.

Kaedah lain untuk mengurangkan ansuran bulanan ialah dengan memanjangkan tempoh kepada 40 tahun, melampaui hayat bekerja peminjam. Cadangan baru-baru ini untuk menawarkan pinjaman dua generasi yang boleh menjangkau 70 tahun, sama seperti berlaku di Jepun, adalah gambaran bagaimana situasi telah menjadi yang bukan-bukan. Peminjam digalakkan untuk membebani generasi masa depan dengan hutang mereka sendiri.

Oleh itu, pinjaman perumahan yang sedia ada kepada mereka yang cukup kaya untuk membeli unit berganda, dan kepada mereka yang hanya mampu untuk membeli tetapi hanya dapat melakukannya melalui memanjangkan pinjaman kepada had tidak munasabah atau melalui kadar awal rendah merupakan penyebab utama harga rumah meningkat.

Dalam usaha untuk memastikan orang kebanyakan mampu membeli rumah dan mengurangkan kenaikan harga hartanah yang tidak sihat dan tidak mapan, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang berikut.

Kini tiba masanya kerajaan memulakan dasar perumahan awam yang menyediakan perumahan mampu dimiliki, terutama di kawasan bandar, kepada mereka yang berada di bawah paras pendapatan tertentu.

Sebagai contoh, langkah diambil Lembaga Perumahan Singapura di mana kerajaan menjadi pelopor kepada pembinaan rumah mampu milik untuk majoriti rakyatnya. Secara alternatif, kerajaan boleh melakukannya melalui kerjasama dengan sektor swasta. Di mana tanah semakin berkurangan dan kepadatan tinggi, perancangan komprehensif penggunaan tanah dengan penyediaan pengangkutan awam yang baik bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas amat diperlukan.

Bagi sektor perumahan swasta, kerajaan mestilah mengambil peranan utama untuk mengawasi harga hartanah dan mengambil langkah yang sesuai dan kena pada masanya untuk mengelakkan kenaikan hartanah tidak mapan dan tidak sihat.

Satu pengajaran daripada krisis kewangan baru-baru ini ialah bank pusat dan pembuat dasar telah memberikan tumpuan kepada harga pengguna dan inflasi pendapatan dan mengabaikan untuk mengawasi dan mengawal inflasi harga aset.

Kini tiba masanya untuk mengenal pasti bahawa inflasi aset (hartanah dan saham) mendedahkan ancaman besar kepada kestabilan ekonomi dan kewangan. Langkah yang diambil oleh Bank Negara baru-baru ini untuk mengehadkan pembeli hartanah ketiga kepada pinjaman 70 peratus kepada nisbah nilai tidak mencukupi untuk mengawal spekulasi dan pelaburan berlebihan. Kami menyarankan nisbah pinjaman dikurangkan kepada paras yang lebih rendah untuk menguji tindak balas pasaran.

Kerajaan seharusnya meningkatkan cukai keuntungan hartanah bagi transaksi jangka pendek. Cukai keuntungan hartanah 5 peratus pada masa ini bagi hartanah yang dipegang di bawah lima tahun tidak mencukupi. Kadar cukai seharusnya ditingkatkan dengan ketara, lebih pendek tempoh pegangan; perkara yang sama perlu dilakukan bagi penjualan hartanah yang kedua dan berikutnya.

Kerajaan seharusnya menghentikan penjualan hartanah kepada orang asing. Bagi bukan hartanah, orang asing seharusnya tidak layak untuk mendapatkan pinjaman perumahan tempatan, melainkan mereka merupakan penduduk tetap.

Perancang bandar dan majlis tempatan seharusnya mempunyai perancangan penggunaan tanah komprehensif dan memberikan lebih kepentingan kepada membangunkan bandar yang lebih mesra dan hijau, sistem pengangkutan awam kelas pertama dan mengurangkan pembinaan lebih banyak kompleks membeli-belah, pasar raya besar dan jalan.

Ringkasnya, kerajaan perlu memberikan keutamaan untuk meletakkan keperluan majoriti rakyat Malaysia mengatasi bank, pemaju, spekulator dan orang asing yang kaya.



Dipetik dari Sinar Harian

Akta Baru Diwujudkan Untuk Pantau Peniaga

KUALA LUMPUR 31 Mac – Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010 akan dikuatkuasakan bermula esok untuk melindungi kepentingan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan pelaksanaan undang-undang itu, ia akan dapat menghalang peniaga daripada menaikkan harga sesuatu barangan tanpa sebab.

Katanya, dengan adanya akta baru itu ia akan membatalkan akta lama, Akta Kawalan Harga 1946, membolehkan kementerian bertindak dengan segera terhadap peniaga yang mengaut keuntungan secara berlebihan.

Ismail Sabri menyebut tentang tindakan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga penutup mulut dan hidung berikutan penularan wabak Influenza A (H1N1). Dengan penguatkuasaan akta itu, 10 anggota Majlis Penasihat Harga Barang yang akan diketuai Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom akan ditubuhkan.

Sumber Utusan online