Monday, August 29, 2011

Dana Mudah Cara RM2b untuk bumiputera disambut baik

Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (Mapem) menyambut baik pengumuman mengenai Dana Mudah Cara berjumlah RM2 bilion yang boleh membantu secara berkesan syarikat-syarikat bumiputera mengakses kepada dana untuk memulakan sesuatu inisiatif perniagaan.

Bagaimanapun, Presiden Mapem, Tan Sri Rozali Ismail dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, majlis itu mengusulkan tiga perkara asas yang perlu dinilai oleh Teraju dan UKAS dalam pelaksanaan dana tersebut.

Pertama, majlis itu mencadangkan agar Teraju perlu menyatakan dengan jelas modaliti pengendalian dana ini, kriteria kelayakan permohonan serta fokus sektor pembiayaan.


"Ini adalah penting untuk mengelakkan daripada berlaku perselisihan antara harapan dan kehendak usahawan dengan pakej sebenar yang ditawarkan oleh dana ini,” kata kata beliau.

Kedua, dana mudah cara mungkin hanya salah satu komponen keperluan dana dan pembiayaan masyarakat usahawan bumiputera, tetapi, isu sebenar yang dihadapi oleh usahawan bumiputera, kata beliau adalah akses kepada pembiayaan komersial secara merit.

Mapem mencadangkan supaya dana mudah cara itu boleh digunakan sebahagiannya untuk meningkatkan kapasiti syarikat bumiputera supaya dapat memenuhi kriteria penilaian kredit bank-bank komersial, katanya.

Bagi usul ketiga, Teraju perlu mencadangkan bagaimana dana mula kerja itu boleh membantu memberi manfaat kepada usahawan mikro, memandangkan hampir 90 peratus usahawan bumiputera adalah dalam kategori berkenaan.

– Bernama

No comments:

Post a Comment