Sunday, April 3, 2011

Apa Itu Rawatan Perubatan Homeopati

Dalam merawat penyakit, terdapat pelbagai kaedah dan rawatan alternatif yang disediakan bagi mengurangkan penyakit yang dialami. Salah satunya yang semakin mendapat tempat bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia adalah kaedah rawatan homeopati.

Homeopati adalah satu sistem perubatan alternatif yang memberi sumbangan kepada kesihatan manusia selama lebih dari dua abad. Rawatannya menggunakan ubat-ubatan yang bertindak merangsang sistem pemulihan diri pesakit bagi melawan penyakit yang dideritai.



Perubatan homeopati bermula 1929



Di Malaysia, sistem perubatan homeopati diasaskan Profesor Dr Burhanuddin Helmy. Beliau membawa masuk dan memperkenalkan kaedah ini pada 1929 selepas mendapati ia berjaya menyembuhkan penyakit lelah yang dialaminya.

Konsep dan undang-undang homeopati bermula sejak zaman Hippocrates, iaitu seorang pakar perubatan Greek kurun kelima sebelum Masihi. Dalam menjalankan perawatan, pakar perubatan Greek itu menamakan kaedah yang dipakainya sebagai ‘Similia Similibus Curentur’ iaitu bermaksud ‘serupa disembuhkan oleh serupa’.

Pada tahun 1790, salah seorang pakar perubatan homeopati bernama Dr Samuel Hahnemann, menterjemahkan penemuannya secara praktikal dan kajian saintifik dengan bahan uji bukti kuinin dalam rawatan malaria.

Perubatan ini menggunakan sumber dari bahan semula jadi seperti galian dan tumbuhan. Sebagai contoh, arang boleh digunakan untuk merawat penyakit gastrik dan garam pula boleh digunakan untuk merawat kelesuan.

Antara penyakit lain yang boleh dirawat dengan menggunakan perubatan ini termasuk asma, strok, diabetes, resdung, tekanan darah tinggi, sawan, migrain dan penyakit kronik lain.



Jana pendapatan cecah nilai bilion



Di Amerika Syarikat (AS), industri ini menjana pendapatan dengan jumlah mencecah US Dolar lapan bilion setahun, di mana peningkatan jualan ubat-ubatannya meningkat 1,000 peratus sejak empat tahun lalu.

Di Perancis, lebih satu perempat penduduk menggunakan perkhidmatan perubatan homeopati sementara di Britain, penambahan penggunaan terhadap perubatan ini bertambah dua kali ganda setiap dua tahun.

Manakala di India dan Pakistan, perubatan ini menyumbangkan berbilion rupi kepada ekonomi negara. Di United Kingdom, nilai pasarannya adalah 46 juta menjelang 2012.

Perubatan jenis ini juga adalah sistem perubatan kedua terbesar di dunia seperti yang dipraktikkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di lebih 80 buah negara dan digunakan jutaan orang di seluruh dunia.

Nilai pasaran dunia bagi industri ini adalah lebih dari 2.7 bilion dolar dengan Perancis memegang pasaran kira-kira 405 juta diikuti Jerman dengan jumlah hampir 270 juta dolar.

Dengan pertumbuhan tahunan terkini sebanyak 25 peratus, nilai pasaran dunia bagi industri ini dijangka akan mencecah 11 bilion menjelang 2017.

Selain dari negara terbabit, India juga antara negara yang mencatatkan kadar pertumbuhan tinggi iaitu mencecah RM2.7 bilion tahun ini, didorong kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 30 peratus sekali gus menjadi penyumbang kedua terbesar selepas Perancis.

Tahun lalu, saiz pasaran homeopati domestik bernilai kira-kira RM1.5 bilion, dan kajian Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri India (Assocham) menunjukkan, dalam tempoh 2009 hingga 2010, kira-kia 120 juta pesakit India menggunakan kaedah ini untuk merawat pelbagai jenis penyakit yang dihadapi.

Setiausaha Agung Assocham, DS Rawat berpendapat, jumlah ini berkemungkinan melebihi 160 juta dalam dua hingga tiga tahun akan datang disebabkan perubatannya yang semakin diterima ramai.

Melalui tinjauan yang beliau lakukan, lebih 75 peratus pesakit memandang tinggi perubatan jenis ini walaupun ia mengambil masa yang lama untuk menyembuhkan penyakit.

Selain bersifat peribadi kerana interaksi tertutup antara tabib dan pesakit, ia juga selamat dari sudut psikologi kerana tiada kesan sampingan, dan bayaran rendah yang dikenakan menjadi faktor mengapa ramai yang memilih kepada perubatan ini.

Sebagai antara negara yang mempunyai nilai pasaran tinggi, India turut mengeksport produk homeopatinya ke Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom, malah India juga mengimport produk dari negara ini.

Destinasi utama pengeksportan produk adalah Jerman dengan 90 hingga 95 peratus dan nilai eksport di Amerika Syarikat meningkat sejak 1992 hingga 1993. Antara negara membangun lain yang dieksport produknya termasuk Rusia, Ukraine dan Sri Lanka.


-Sinar Harian


No comments:

Post a Comment