Tuesday, June 28, 2011

Dividen 5.5 Sen Seunit ASN2

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASN), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengisytiharkan dividen 5.5 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 2 (ASN2) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2011 yang membabitkan pembayaran sebanyak RM10.8 juta.

Sejumlah 8,832 pemegang unit yang secara kolektifnya memiliki 196 juta unit akan mendapat manfaat pembayaran itu.

Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid (gambar) berkata, ASN2 menunjukkan prestasi lebih baik sepanjang tahun kewangan itu berbanding tahun sebelumnya.

“Ini sejajar dengan prestasi menggalakkan ekonomi dan bursa negara ini yang menyaksikan indeks komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) mencatatkan keuntungan 18.96 peratus kepada 1,563.19 mata pada Isnin,” katanya ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASN2, semalam.

Berasaskan nilai aset bersih dana itu sehingga 23 Jun lalu, daripada RM1.2246 seunit, pulangan keseluruhan yang dicatatkan dana itu berjumlah 19.27 peratus.

Sehingga Isnin, ASN2 mencatatkan pendapatan kasar RM14.34 juta, daripada jumlah itu, keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM5.43 juta atau 37.87 peratus, manakala pendapatan dividen dari syarikat dilabur menyumbang RM7.24 juta atau 50.49 peratus dengan baki pendapatan RM1.67 juta atau 11.64 peratus diperoleh daripada pelaburan lain.

Sementara itu, semua transaksi ASN2 digantung sehingga 30 Jun bagi memudahkan pengiraan dividen.

- Bernama

Sunday, June 26, 2011

SME Bank Peruntukkan RM27j Dana Wanita

SME Corp Malaysia komited melahirkan lebih ramai usahawan wanita dengan memperuntukkan 10 peratus daripada RM269 juta yang dikhaskan di bawah rancangan pelaksanaan pertama untuk perusahaan wanita bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, tempoh dana terbabit adalah dari 2011 sehingga 2012 dan ia diperkenalkan pada suku pertama tahun ini bagi pembangunan usahawan tempatan.

“Sejak 2010, pemberian geran tidak lagi menjadi fokus utama SME Corp kerana kami memberi tumpuan kepada latihan serta bimbingan bagi membangunkan usahawan di negara ini terutama usahawan wanita.

“Setakat ini kurang daripada satu peratus daripada dana terbabit diagihkan kepada mereka yang layak dan bagaimanapun usahawan perlu mengikut semua program yang dirancang SME Corp dan membantu mereka berdasarkan kepada keperluan mereka untuk berkembang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Usahawan Wanita 2011 Alliance Bank di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Penganjur, Amy Seok dan Ketua Perbankan SME Alliance Bank, Steve Miller.

Hafsah berkata, ketika ini lebih daripada 12,000 usahawan wanita terbabit dalam pelbagai program di bawah anjuran SME Corp dan pihaknya menjangkakan jumlah itu akan bertambah dari masa ke masa berikutan kebanyakan wanita kini berani menceburi diri dalam semua bidang.

Beliau berkata, selain itu SME Corp turut menyasarkan sekurang-kurangnya 30 syarikat akan menerima pengiktirafan Tanda Keunggulan Jenama Malaysia menjelang akhir tahun ini berbanding 24 syarikat yang diiktiraf.

“Tanda Keunggulan Jenama Malaysia adalah sebagai penanda aras terhadap kualiti, kecemerlangan dan keunggulan diperkenalkan kerajaan untuk mengiktiraf produk hasil keluaran pengusaha kecil dan sederhana yang menggambarkan ciri jenama Malaysia.

“Kami tidak melihat kepada kuantiti, tetapi kualiti produk yang berjaya ditampilkan serta dipasarkan sebagai bukti buatan tempatan juga mampu bersaing ke peringkat global,” katanya.

Produk Tempatan Semakin Mendapat Perhatian

Pengguna kini semakin yakin barangan buatan tempatan adalah berkualiti serta setanding jenama yang diimport dari luar negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata barangan tempatan semakin mendapat tempat di hati pengguna kerana selain kualiti bagus, harganya jauh lebih murah berbanding produk sama dari luar negara.

Beliau berkata kempen kerajaan seperti ''Beli Barangan Malaysia'' yang sudah tiga kali diadakan, menjadi bukti kesedaran orang ramai terhadap produk tempatan semakin meningkat.

"Pada masa yang sama, usahawan yang menyertai kempen itu juga dari semasa ke semasa memperbaiki kualiti dan mutu produk mereka, termasuk daripada segi pembungkusan dan penjenamaan," katanya kepada pemberita selepas menutup Ekspo Beli Barangan Malaysia dan Peluang Perniagaan Francais Zon Timur 2011 hari ini.

Ismail Sabri berkata ekspo sama di Kuala Lumpur baru-baru ini mencatat jualan berjumlah RM13 juta manakala sebanyak RM4 juta dicatat ketika ia diadakan di sini tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata peniaga dan pengguna akan terjejas jika demonstrasi jalanan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 9 Julai depan, berjalan seperti dirancang.

Katanya, perhimpunan itu akan menyebabkan ramai peniaga tidak dapat beroperasi seperti biasa, sekaligus menjejaskan pendapatan harian mereka.

Ismail Sabri berkata pengguna pula bakal berdepan situasi kekurangan atau ketiadaan produk harian, terutama sumber makanan akibat penutupan kedai atau pasar raya, dan ini akan mencetus pembelian panik.

"Orang ramai akan membeli dalam kuantiti banyak untuk simpanan, dan perkara itu menyebabkan kekurangan produk di kedai, sekaligus peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga produk kerana permintaan tinggi daripada pengguna," katanya.

- BERNAMA