Sunday, October 14, 2012

Program Keusahawanan Rangkaian Niaga D'or | Bantu LAhirkan Usahawan

MELIBATKAN diri dalam dunia perniagaan bukanlah satu perkara mudah. Ini kerana selain modal, ilmu pengetahuan serta kekuatan mental merupakan aspek penting yang perlu ada apabila hendak memulakan sesuatu perniagaan.

Hari ini sekiranya mana-mana individu tidak memiliki modal ataupun kemahiran dalam bidang perniagaan tetapi berminat untuk menjadi seorang usahawan, mungkin boleh menyertai Program Keusahawanan Rangkaian Niaga D'or.






Dalam program ini, para peserta bukan sahaja akan diberikan modal untuk memulakan perniagaan tetapi juga akan diberikan latihan untuk memantapkan lagi kemahiran perniagaan yang dipilih.

Bagaimanapun, melalui program ini, perniagaan berkonsepkan kraf serta emas sahaja yang dibenarkan kerana ia merupakan program kerjasama antara Koperasi Jaringan Usahawan Selangor Berhad (Kojaring) dan juga D'or Rue Sdn. Bhd. (D'or Rue).

Ini kerana modal untuk memulakan perniagaan disalurkan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Dalam program ini, modal sehingga RM30,000 disediakan untuk individu yang berminat menjadi usahawan.

Menurut Pengerusi Kojaring, Latif Kachong, pihaknya bagaimanapun tidak memberikan modal tersebut dalam bentuk wang tunai malah ia akan diberikan dalam bentuk barangan.

"Pihak kami tidak akan memberikan modal berupa wang tunai tetapi dalam bentuk barangan.

"Contohnya bagi pembiayaan pinjaman sebanyak RM30,000, kami akan memberikan emas tulen 999 seberat 70 gram di samping produk-produk kraf emas sadur yang bernilai RM17,600 untuk diniagakan selain simpanan tunai sebanyak RM7,500.

"Selain modal, kami turut memberikan latihan dan bimbingan kepada bakal-bakal usahawan ini," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai modal yang diberikan dalam bentuk barangan, jelas Latif, jongkong emas tulen itu digunakan bagi tujuan cagaran kepada pinjaman dan akan disimpan oleh koperasi sebelum dipulangkan kepada usahawan selepas selesai pembayaran pinjaman.

Secara tidak langsung ia memperlihatkan usahawan-usahawan ini bukan sahaja berniaga tetapi turut membuat pelaburan dengan emas yang nilainya semakin meningkat setiap tahun.

Katanya lagi, pihaknya menawarkan dua jenis rakan niaga iaitu Rakan Niaga Perunding Emas (akan memperoleh pembiayaan modal niaga RM5,000) dan Rakan Niaga Pengurus Emas (akan memperoleh pembiayaan modal niaga RM30,000).

Bukan itu sahaja malah sesiapa sahaja yang menyertai program ini turut memperoleh faedah-faedah lain seperti khidmat tebus gadai, insentif memperkenalkan rakan usahawan baharu, dividen tahunan, diskaun pembelian kepada usahawan dan khairat kematian.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan D'or Rue, Hanizah Zainudin berkata, setiap usahawan yang menyertai program tersebut akan mendapat 50 peratus diskaun untuk belian produk-produk kraf.

Katanya lagi, segala bimbingan serta nasihat akan diberikan oleh pihaknya termasuklah khidmat selepas jualan.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini dan sekiranya ada sebarang pertanyaan bolehlah hubungi talian 03-5880 2895 (Kojaring) atau 03-6184 1662 (D' Rue Sdn. Bhd.)

- Sumber Akhbar Utusan

No comments:

Post a Comment