Friday, October 12, 2012

Review EPI Life | Telefon Pintar Dengan sensor ECG

DI kalangan pesakit jantung, istilah Eloktro Kardiogram (ECG) memang sinonim dengan mereka kerana bacaan itu mampu mengesan gejala ritma jantung yang tidak teratur setiap kali munculnya beberapa simptom utama.

Walau bagaimanapun, keadaan pesakit yang berada jauh daripada kemudahan perubatan mesin ECG menyebabkan mereka sukar memantau bacaan terbabit secara berterusan. Memberi kemudahan itu, sebuah syarikat teknologi e-kesihatan, Heartronics Sdn. Bhd. (Heartronics) memperkenalkan telefon pintar EPI Life yang diintegrasi dengan sensor bacaan ECG.


Pengarah Urusannya, Jean-Michel Mougin berkata, peranti berkenaan bakal menghubungkan pengguna dengan pakar kardiologi profesional untuk menerima arahan tindakan awal setiap kali selepas bacaan ECG diambil.

“Selain mampu mengukur denyutan dan mengesan tanda tidak normal pada jantung, EPI Life turut berupaya memantau keadaan kesihatan lain seperti tekanan darah, kandungan gula dan paras kolestrol individu.

“Peranti ringkas yang bersifat mobiliti ini membantu pengguna memantau ECG dengan cepat dan mudah pada bila-bila masa. Ia sangat penting untuk mereka yang mempunyai sejarah sakit jantung atau berisiko tinggi mendapat penyakit itu,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Produk yang dibangunkan oleh EPI Mobile Health Solution itu mendapat kerjasama daripada Hospital Pantai Kuala Lumpur dan syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi bersepadu negara, Maxis Berhad (Maxis).

Penggunaan EPI Life sangat mudah di mana pengguna hanya perlu menyentuh telefon menggunakan tiga jari iaitu dua jari kiri dan satu jari kanan pada bahagian sensor selama 30 saat.

Peranti kemudiannya akan menghantar bacaan ECG ke Pusat Concierge Kesihatan yang beroperasi 24 jam sehari bagi tujuan penilaian.

Doktor pakar dan juruteknologi kardiologi yang bertugas pula akan menganalisa bacaan sebelum menghantar keputusan penilaian berbentuk khidmat pesanan ringkas (sms) dalam tempoh lima minit.

Untuk setiap bacaan ECG, ia direkodkan secara dalam talian menerusi Fail Kesihatan Peribadi Maya khusus untuk setiap pengguna sebagai rujukan perubatan pada masa akan datang.

Selain jari, terdapat beberapa lagi cara lain untuk mengambil bacaan ECG menggunakan EPI Life iaitu di sekitar dada dan juga lutut.

EPI Life boleh didapatkan di empat cawangan Pusat Maxis iaitu KLCC, Taman Tun Dr, Ismail (TTDI), Sunway Pyramid dan The Gardens bersama tawaran pelan pasca bayar perkhidmatan ECG serendah RM13.

No comments:

Post a Comment