Friday, October 12, 2012

Review Lenovo IdeaPad U410 | Laptop jiwa remaja

LENOVO sentiasa mempunyai rekaan unik yang tidak menghampakan pembeli terutama jika anda mahukan laptop canggih sesuai dengan gaya hidup semasa.

Justeru, rekaan baru pada model IdeaPad U410 pastinya menawarkan satu lagi produk cemerlang Lenovo dalam usaha menyaingi mesin lain di pasaran.


Model terbabit mempunyai keunikan tersendiri apabila fungsi Ultra Smart juga diperkenalkan termasuk kemas kini aktiviti sosial anda seperti kotak e-mel, pesanan segera (IM) dan media sosial lain walaupun ketika itu anda sudah menutup laptop jika mod tidur diaktifkan.

Malah, dengan kerjasama Intel, Lenovo berjaya menempatkan teknologi Paparan Tanpa Wayar (WiDi) yang membolehkan sambungan terus ke TV anda tanpa menjejaskan kualiti visual dimainkan pada laptop.

Manakala saiz papan kekunci lebih besar dan reka bentuk simbol setiap abjad papan kekunci yang lebih terperinci memudahkan menaip tanpa perlu bimbang melakukan kesilapan menekan simbol yang salah kerana saiz lebih kecil dan rata pada model tertentu.

U410 ditawarkan pada saiz 14 inci dan ditetapkan dengan paparan grafik NVIDIA GeForce 610M 1GB manakala berat pula ialah1.8kg.

Menyedari keperluan pengguna korporat dan fanatik Internet, U410 dilengkapi bateri dengan kemampuan beroperasi tujuh dan sembilan jam.

Laptop terbabit menggunakan pemproses Intel Core i5-3317U Generasi Ketiga, disokong storan memori 1 GB DDR3 manakala pemacu cakera kerasnya dipadankan bersama pilihan berkapasiti 750GB dengan 32GB storan jenis SSD yang dimampatkan bersama.

Spesifikasinya tidak banyak berbeza dengan model sebelumnya iaitu U310 apabila dilengkapi dua atau tiga port USB 2.0, dua port USB 3.0, VGA, HDMI dan pembaca kad memori.

Model terkini bagi rangkaian produk IdeaPad itu turut didatangkan dengan teknologi rangkaian Ethernet bagi sambungan LAN, WiFi serta Output dan Input Audio.

Peluang menyelami secara terperinci produk laptop Lenovo itu melahirkan tanggapan ia adalah produk perkomputeran yang mampu menepati segmen pengguna khusus iaitu remaja.

Ini kerana reka bentuknya yang lebih menarik dengan pilihan warna disediakan, U410 yang ringan serta kompak mudah dibawa bagi tujuan persembahan hasil aktiviti peribadi ketika di rumah atau kelas.

Pada harga pasaran dianggarkan sekitar RM4,299, berprestasi membanggakan, disokong dengan jangka hayat bateri lebih lama, ia adalah notebook yang bakal menyemarakkan dunia teknologi maklumat tempatan.

Menaip menggunakan papan kekunci siri IdeaPad sememangnya selesa manakala butangnya tidak mengeluarkan bunyi bising selain saiznya amat tepat untuk jari pengguna.

Sementara itu, pad sesentuh agak sensitif pada setiap sentuhan, tetapi ia bukan masalah besar kerana boleh diperbetulkan mengikut kesesuaian, namun dua tetikus pada bahagian kanan serta kiri mengeluarkan bunyi sedikit kuat apabila ditekan. Adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Tepuk dada tanya hati!

Spesifikasi
PRODUK: Lenovo IdeaPad U410
PENGELUAR: Lenovo
PERTANYAAN: Lenovo Malaysia
LAMAN WEB: www.lenovo.com
HARGA: Anggaran RM4,299

No comments:

Post a Comment