Sunday, October 14, 2012

Review Olympus Kamera TG-1


Olympus Malaysia memperkenalkan model terbaharu kamera digital tahan lasak kalis air mereka, Olympus Tough TG-1 yang dilengkapi pelbagai ciri-ciri menarik.

Siri Tough yang diperkenalkan pada tahun 2006 berjaya menjadi antara kamera kompak paling digemari ekoran ketahanannya yang boleh memasuki air sehingga kedalaman 10 meter.

Dan bagi siri baru Tough model TG-1 ini, ia diperkuatkan dengan ketahanan sehingga 12 meter, satu ketahanan yang membolehkan seorang penyelam skuba menggunakan kamera itu tanpa bekas kalis air selain diperkemaskan dengan kalis hentakan jika terjatuh dari paras 2 meter.
Kamera yang sesuai untuk pengembara itu kini dilengkapi dengan sistem penentu kedudukan global (GPS) dan lensa 25-100mm (persamaan dalam kategori kamera 35mm) yang mempunyai bukaan sehingga f/2.0.

Ini bakal memberikan kemasukan cahaya yang tinggi pada penggunaan ISO yang rendah.

Kamera ini menurut Olympus Malaysia, akan berada di pasaran pada Jun 2012.

Tough TG-1 ini diperkemaskan lagi dengan kemampuan merakam video definisi penuh (HD) dengan rakaman audio stereo yang turut boleh dilakukan semasa merakam di dalam air.

Seperti biasa yang sudah menjadi 'Trade Mark' Olympus, TG-1 ini turut dilengkapi dengan penuras ajaib yang membolehkan imej rakaman menjadi lebih menarik dan dramatik.

Dan kali ini, dua lagi penuras ajaib ditambah iaitu, penuras 'Dramatic' dan penuras 'Fragmanted' yang boleh memberikan kontras dramatik kepada imej selain mampu menyusun imej secara jajaran jubin.

Kamera kompak digital tahan lasak ini diperkuatkan lagi dengan teknologi iHS (bijak, kelajuan tinggi dan sensitiviti tinggi) yang buat pertama kali diperkenalkan pada kamera kompak.

Bagi yang inginkan letusan rakaman, Tough TG-1 ini juga mampu merakamkan imej sehingga 60 bingkai sesaat (pada kualiti 3 megapiksel) atau lima bingkai sesaat pada 12 megapiksel.

Pengguna Tough TG-1 ini mampu memperoleh kualiti imej setanding kamera digital lensa refleks tunggal ekoran ia menggunakan pemproses TruePic VI dan sensor CMOS dedahan belakang.

Dengan penambahan aksesori kanta, kamera ini mampu menghasilkan gambar lebar mata ikan selain telefoto yang membolehkan pengguna merapatkan objek sehingga 170mm.

Sehingga berita ini ditulis, harganya masih lagi menjadi tanda tanya. Lawat laman web Olympus di www.olympusimage.com.my untuk maklumat lebih lanjut.

- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment