Showing posts with label bank sme. Show all posts
Showing posts with label bank sme. Show all posts

Wednesday, April 10, 2013

SME Bank Lancar Dana Pembiayaan Bumiputera (BFF) RM1 Bilion



Bank Perusahaan Kecil Dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) melancarkan Dana Pembiayaan Bumiputera (BFF) bernilai RM1 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera membiayai pengambilalihan ekuiti dalam subsidiari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam aktiviti bukan teras.

Jumlah dana itu adalah sebahagian daripada RM2.25 bilion yang diberikan oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2013.

Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, tujuan dana itu bagi membiayai kewangan usahawan yang layak dalam urusan pemilikan syarikat yang telah dikenal pasti untuk dilupuskan GLC.

"Syarikat yang layak sebagai pembeli hendaklah merupakan syarikat sendirian berhad berstatus Bumiputera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, termasuk dalam kategori PKS atau lain-lain kategori yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

"Manakala, tempoh pembiayaan dibuka sehingga 50 tahun dan jumlah pembiayaan tidak mempunyai had bergantung kepada nilai pelupusan syarikat GLC," katanya, selepas pelancaran dana BFF, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, BFF adalah dana ketiga yang dilancarkan selepas Tabung Usahawan Muda bernilai RM50 juta dan Tabung Pembangunan PKS berjumlah RM1 bilion.

Katanya, SME Bank juga bakal memperkenalkan Tabung Pembangunan Halal tidak lama lagi.

BFF adalah dana berkonsep syariah yang akan memberi peluang kepada PKS untuk meningkatkan pegangan ekuiti golongan Bumiputera, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai 30 peratus pegangan Bumiputera dalam sektor ekonomi menjelang 2020.

Sehingga kini, pegangan ekuiti Bumiputera berada pada tahap 23 peratus dan bernilai kira-kira RM168 bilion.

- Sinar

Wednesday, April 6, 2011

mySME: Perlindungan Untuk sektor PKS

KIRA-KIRA 500,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seluruh negara berpeluang menambah ilmu niaga membabitkan pengurusan risiko serta menikmati perlindungan menyeluruh terbaik menerusi Pelan Takaful mySME yang diperkenalkan Syarikat Takaful Malaysia Bhd (Takaful Malaysia).

Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohamed Hassan Kamil berkata, produk yang direka khusus untuk meningkatkan produktiviti serta aliran tunai bertujuan memelihara kepentingan lima sektor PKS membabitkan pembuatan ringan, makanan dan minuman, runcit, pejabat serta perkhidmatan.


Beliau berkata, pihaknya mengunjurkan pendapatan premium sebanyak RM10 juta dalam tempoh setahun pertama produk itu dilancarkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohamed Hassan Kamil, berkata walaupun banyak syarikat PKS mencatat pertumbuhan pesat, kadar penembusan insurans atau pengurusan risiko masih rendah meskipun terdapat pelbagai pilihan penyelesaian perlindungan perniagaan di negara ini.


“Perkara ini dapat disaksikan ketika krisis kewangan global antara 2008 dan 2009 lalu apabila sejumlah besar penggiat PKS di Malaysia terjejas teruk akibat kelembapan permintaan. “Oleh itu, kami menawarkan produk perlindungan komprehensif terbaik kepada golongan terbabit,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pelan Takaful mySME oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir di Kuala Lumpur, semalam.



-Harian Metro