Showing posts with label review telefon terbaru. Show all posts
Showing posts with label review telefon terbaru. Show all posts

Sunday, June 23, 2013

Review Huawei Ascend Mate


PEMBEKAL kepada penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkemuka, Huawei baru-baru ini memperkenalkan peranti empat teras dengan skrin sentuh terbesar.

Telefon bimbit pintar Ascend Mate yang bercirikan skrin berdefinisi tinggi (HD) 6.1 inci ini turut dijana oleh pemproses Hi-Silicon empat teras 1.5 giga Herz selain turut dikuasakan oleh bateri berkapasiti tinggi 4050 mAh.

Dengan teknologi kawalan kuasa pantas (QC - Quick Power Control) serta penerimaan automatik tidak berterusan (ADRX - Automated Discontinuous Reception), perkongsian pantas milik Huawei ini membuktikan bahawa peranti bersaiz besar mampu untuk beroperasi dengan baik.

Menurut Pengarah Pemasaran Serantau Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Tang Siew Wai, Ascend Mate dilihat mampu memenuhi kehendak pengguna dengan mempamerkan inovasi serta teknologi terhebat yang diusahakan oleh jurutera terbaik Huawei.

"Peranti terbaharu daripada Huawei ini mampu menembusi rintangan dalam penyampaian hiburan, komunikasi serta memberikan pengalaman kreatif bagi semua keperluan peribadi pengguna.

"Daripada segi perkakasan serta reka cipta pula, konsep make it possible diterjemahkan menerusi chipset, penjimatan kuasa, skrin yang lebih besar dan teknologi kamera 8 mega piksel HDR," katanya.

Dioperasikan oleh Android Jelly Bean 4.1, Ascend Mate turut menyediakan teknologi dua mic bagi penapisan bunyi, sistem suara Dolby, rakaman stereo serta perkongsian pantas bagi memuat naik gambar, video dan lain-lain fail.

Acsend Mate kini boleh mula didapati dalam dua warna iaitu hitam dan putih serta dijual pada harga RM1,599.

- Utusan

Wednesday, June 19, 2013

iPhone Baru Skrin Lebih Lebar?

Ilustrasi telefon pintar Samsung Galaxy S3 (kiri), Nokia Lumia 820 dan iPhone 4 (kanan). Apple berkemungkinan mengubah produk yang ditawarkan sebelum ini kepada phablets

Apple Inc bercadang melancarkan beberapa model iPhone dengan skrin lebih besar dan berharga murah dengan pelbagai warna tahun depan, sekali gus memberi saingan kepada Samsung Electronics, kata empat sumber rapat dengan perkara itu.

Langkah itu yang kini masih dalam perbincangan menunjukkan bahawa syarikat dari California yang pernah menguasai pasaran telefon pintar itu, semakin terancam oleh pesaingnya dari Korea.
Samsung mengambil alih bahagian pasaran Apple menerusi model popular Galaxy dengan skrin besar dikenali phablets dan menguasai pasaran dengan pelbagai rangkaian produk pada harga yang berbeza.

Apple merancang memperkenalkan sekurang-kurangnya dua varian iPhone dengan skrin lebih besar, satu daripadanya menggunakan skrin 4.7 inci dan satu lagi 5.7 inci, kata sumber yang turut menjelaskan ia merangkumi rantaian bekalan di Asia.

Mereka berkata, pembekal sudah dimaklumkan dengan rancangan berhubung skrin lebih besar, namun ia belum jelas sama ada Apple akan melancarkan produk utamanya dalam saiz lebih besar.

Mereka sentiasa mengubah spesifikasi produk pada saat akhir, jadi belum pasti sama ada ia adalah prototaip akhir, kata salah seorang daripada sumber.

Apple enggan mengulas berhubung perkara itu.

Apple berkemungkinan mengubah daripada produk yang ditawarkan sebelum ini kepada phablets, telefon pintar yang tidak berapa besar untuk melayakkannya dipanggil tablet yang hadir sejak sekian lama pengguna dan pelabur berharap untuk menerima lebih daripada model telefon bimbit baru setahun.

Kadar inovasi iPhone perlahan

Pengkritik berkata, kadar inovasi iPhone perlahan selepas kematian pengasas bersama, Steve Jobs.

Bagi tahun ini, Apple dijangka melancarkan dua model baru yang secara meluas merujuk kepada iPhone 5S dengan teknologi cap jari selain versi lebih murah dengan badan plastik, kata sumber rantaian bekalan.

Apple merancang menawarkan telefon lebih murah dengan lima hingga enam warna berbeza berbanding kebiasaannya dengan warna hitam dan putih.

Firma AS merancang menawarkan telefon murah pada harga AS$99 (RM308) yang akan diumumkan tahun depan, kata sumber, namun mendedahkan sama ada ia adalah harga akhir atau sebaliknya.

Ujian pengeluaran bagi model iPhone standard dan lebih murah dijangka bermula bulan depan dengan pengeluaran besar-besaran bermula Ogos bagi menerusi sasaran pelancaran pada September, kata dua sumber itu.

Ujian pengeluaran pada asalnya dirancang pada Jun, namun campuran warna mengambil masa lebih lama daripada jangkaan kerana Apple amat mementingkan standard, kata sumber di Ais dengan menambah 20 juta plastik untuk iPhone dijangka diedarkan pada suku tahun bermula Oktober hingga Disember.

Dua syarikat Jepun iaitu Sharp Corp dan Japan Display serta satu syarikat Korea, LG Display akan membekalkan panel aluminium untuk iPhone 5S dan iPhone plastik, sementara Hon Hai Precision Industry akan memasang teknologi dan Pegatron.

- BH

Friday, June 14, 2013

Review Acer Liquid S1 | Lebih Bergaya


Siri telefon pintar Liquid terbaru dari Acer baru saja rasmi diperkenalkan. Telefon pintar Acer Liquid S1 ini hadir dengan skrin berukuran besar 5.7 inci dan pemprosesan model quad core.

Skrin 5.7 inci pada telefon pintar ini memiliki resolusi 729 x 1280 piksel. Di bahagian depan telefon ini juga terdapat kamera 2MP. Sementara kamera belakang mempunyai kapasiti 8MP yang mampu merakam video full HD 1080p.

Menggunakan OS Android Jelly Bean 4.2. Pemprosesan yang ada pada telefon pintar ini adalah core keluaran MediaTek dengan kelajuan 1.5GHz. Dengan spesifikasi tersebut, telefon pintar ini dikatakan akan dijual pada harga yang agak tinggi.

Menurut khabar angin, pihak Acer akan mulai memasarkan phablet ini pada suku ketiga 2013 di pasaran Eropah.

- BH

Tuesday, June 11, 2013

Review Phone Strap 2 WX06A | Telefon Terkecil & Ringan Di Dunia


Masih lagi mengenai gajet terkecil di dunia, kali ini telefon bimbit terkecil dan ringan yang turut dikeluarkan oleh syarikat pengusaha elektronik dari Jepun.

Willcom baru saja memperkenalkan sebuah telefon terbaru, Phone Strap 2 WX06A.
Telefon ini turut diperkenalkan sebagai telefon paling kecil dan paling ringan di dunia. Dilihat dari namanya, telefon ini adalah generasi kedua dari telefon Phone Strap. Ia memiliki dimensi yang kecil, dengan lebar 32 milimeter, panjang 70 milimeter dan ketebalan 10.7 milimeter. Beratnya pula sekitar 32 gram.

Namun telefon ini bukanlah telefon pintar, ia hanya mempunyai fungsi asas telefon bimbit. Skrinnya hanya berukuran satu inci dan bateri yang mampu bertahan untuk masa bercakap selama dua jam dan 12 hari waktu sedia.

- BH

Sunday, June 2, 2013

BlackBerry Q5 | Harga Murah Untuk Pasaran Baru


ORLANDO, Florida: Research In Motion (RIM) memperkenalkan BlackBerry dengan harga lebih rendah yang disasarkan kepada pelanggan di pasaran baru muncul sejajar dengan usahanya untuk meningkatkan penguasaan pasarannya yang ketinggalan kepada iPhone keluaran Apple dan peranti Android yang disokong perisian Google.

Gajet yang dikenali Q5 adalah telefon pintar ketiga keluaran syarikat itu yang akan menggunakan sistem operasi baru BlackBerry 10.

Ia akan mempunyai papan kekunci fizikal, sesuatu yang menjadikan peranti keluaran RIM itu berbeza berbanding iPhone dan sebahagian besar telefon Android.

Ketua Eksekutif RIM, Thorsten Heins, berkata peranti itu yang ‘nipis dan bergaya’ boleh didapati dalam empat warna iaitu merah, hitam, putih dan merah jambu.

Beliau mengumumkan pengenalan telefon berkenaan pada pembukaan persidangan tahunan tiga hari RIM di Orlando, Florida.

Telefon pintar itu akan berada di pasaran Eropah, Asia Barat, Afrika, Asia (termasuk rantau Asia Pasifik) dan Amerika Latin bermula Julai ini. Gajet Q5 itu tidak dijangka akan dipasarkan di Amerika Utara setakat ini. Syarikat itu tidak mengumumkan harga telefon baru itu.

Q10, iaitu BlackBerry berteknologi tinggi sudah dipasarkan di kebanyakan pasaran, namun pelancarannya di Amerika Syarikat (AS) ditangguhkan pada bulan depan.

Penangguhan pelancaran di AS itu merumitkan usaha RIM bagi menarik perhatian pengguna iPhone dan telefon pintar Android. Walaupun BlackBerry ketinggalan berbanding pesaingnya dalam beberapa tahun lalu, kebanyakan pengguna masih kekal setia kerana mereka lebih suka papan kekunci fizikal berbanding skrin sentuh.

Q5 sedikit berbeza berbanding Q10. Kedua-duanya mempunyai RAM 2GB, tetapi Q5 mempunyai hanya 8GB memori terbina dalam berbanding 16GB bagi Q10.

Kedua-dua telefon pintar itu mempunyai kamera depan dua megapiksel tetapi Q5 mempunyai kamera belakang lima megapiksel berbanding Q10 yang mempunyai lapan megapiksel dan juga mempunyai video rakaman berdefinasi tinggi.

Q5 mempunyai paparan LCD 3.1 inci sementara Q10 dilengkapkan dengan paparan LED 3.1 inci.

RIM memperkenalkan BlackBerry baru tahun ini selepas penangguhan yang memberi laluan kepada Apple dan pengeluar telefon pintar lain terus memperluaskan pasaran global mereka.

Peranti ikonik RIM, BlackBerry, diperkenalkan pada 1999, menjadi telefon pintar terkemuka bagi ahli perniagaan dan pelanggan selama hampir satu dekad.

Namun begitu, pesaingnya mengeluarkan telefon generasi baru yang boleh digunakan lebih daripada e-mail dan pesanan ringkas, bermula dengan iPhone pada 2007 dan kemudian diikuti peranti yang disokong sistem Android Google.

- AP

Saturday, October 13, 2012

ReviewReview Sharp SH530U | Telefon Pertama Sharp Di Malaysia

SHARP memperkenalkan telefon pintar pertamanya di Malaysia dengan model SH530U yang bersaiz 5.0 inci WVGA 480 x 800 piksel lengkap bersama pemprosesan Dual Core 1GHz dan RAM 512MB.


Kameranya pula dipasang menggunakan format 5.0 megapiksel serta dilengkapkan dengan fungsi dwi sim bermakna pengguna boleh memuatkan dua nombor telefon serentak pada peranti terbabit cuma hanya satu nombor saja yang boleh ditetapkan dengan akses data.

Spesifikasi
PRODUK: Sharp SH530U
HARGA: RM1,288
PEMPROSESAN: Cortex Dual Core A9 1GHz
OS: Android 4.0
KAMERA: 5MP
KAD SIM 1: GSM 850/900/1800/1900 MHz, WCDMA 900/2100 MHz, HSPA DL/UL
KEPANTASAN: 7.2Mbps/5.76Mbps
KAD SIM 2: GSM 850/900/1800/1900 MHz, GPRS Class 12
BATERI: 1950 mAh
MASA BERBUAL: 9 jam
DIMENSI: 146.5 x 81 x 9.9mm
BERAT: 168.8g

Friday, October 12, 2012

Review EPI Life | Telefon Pintar Dengan sensor ECG

DI kalangan pesakit jantung, istilah Eloktro Kardiogram (ECG) memang sinonim dengan mereka kerana bacaan itu mampu mengesan gejala ritma jantung yang tidak teratur setiap kali munculnya beberapa simptom utama.

Walau bagaimanapun, keadaan pesakit yang berada jauh daripada kemudahan perubatan mesin ECG menyebabkan mereka sukar memantau bacaan terbabit secara berterusan. Memberi kemudahan itu, sebuah syarikat teknologi e-kesihatan, Heartronics Sdn. Bhd. (Heartronics) memperkenalkan telefon pintar EPI Life yang diintegrasi dengan sensor bacaan ECG.


Pengarah Urusannya, Jean-Michel Mougin berkata, peranti berkenaan bakal menghubungkan pengguna dengan pakar kardiologi profesional untuk menerima arahan tindakan awal setiap kali selepas bacaan ECG diambil.

“Selain mampu mengukur denyutan dan mengesan tanda tidak normal pada jantung, EPI Life turut berupaya memantau keadaan kesihatan lain seperti tekanan darah, kandungan gula dan paras kolestrol individu.

“Peranti ringkas yang bersifat mobiliti ini membantu pengguna memantau ECG dengan cepat dan mudah pada bila-bila masa. Ia sangat penting untuk mereka yang mempunyai sejarah sakit jantung atau berisiko tinggi mendapat penyakit itu,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Produk yang dibangunkan oleh EPI Mobile Health Solution itu mendapat kerjasama daripada Hospital Pantai Kuala Lumpur dan syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi bersepadu negara, Maxis Berhad (Maxis).

Penggunaan EPI Life sangat mudah di mana pengguna hanya perlu menyentuh telefon menggunakan tiga jari iaitu dua jari kiri dan satu jari kanan pada bahagian sensor selama 30 saat.

Peranti kemudiannya akan menghantar bacaan ECG ke Pusat Concierge Kesihatan yang beroperasi 24 jam sehari bagi tujuan penilaian.

Doktor pakar dan juruteknologi kardiologi yang bertugas pula akan menganalisa bacaan sebelum menghantar keputusan penilaian berbentuk khidmat pesanan ringkas (sms) dalam tempoh lima minit.

Untuk setiap bacaan ECG, ia direkodkan secara dalam talian menerusi Fail Kesihatan Peribadi Maya khusus untuk setiap pengguna sebagai rujukan perubatan pada masa akan datang.

Selain jari, terdapat beberapa lagi cara lain untuk mengambil bacaan ECG menggunakan EPI Life iaitu di sekitar dada dan juga lutut.

EPI Life boleh didapatkan di empat cawangan Pusat Maxis iaitu KLCC, Taman Tun Dr, Ismail (TTDI), Sunway Pyramid dan The Gardens bersama tawaran pelan pasca bayar perkhidmatan ECG serendah RM13.

Sunday, April 24, 2011

Review Gadget: Kyocera Echo




>Spesifikasi

PRODUK: Kyocera Echo
HARGA: tidak diperoleh
RANGKAIAN: 2G (CDMA 800 / 1900) 3G (CDMA2000 1xEV-DO)
OS: Android 2.2 (Froyo)
CPU: 1GHz Scorpion, Qualcomm QSD 8650 Snapdragon
SKRIN: 3.5 inci Dual TFT
MEMORI: 512 MB RAM / 1024 MB ROM
KAMERA: 5 MP, 2592 x 1944 piksel, fokus auto, flash LED
BATERI: Li-Ion 1370 mAh
DIMENSI: 115 x 56.5 x 17.2mm
BERAT: 193 g


Review
TELEFON biasanya satu skrin saja, kalau anda mahu saksikan peranti dwiskrin mungkin boleh jenguk produk seperti Acer ICONIA, tapi kalau mahu telefon pintar yang ‘berdwiskrin’, belilah Kyocera Echo.

Walaupun ia belum didapati di pasaran, Echo sudah hangat diperkatakan dunia telekomunikasi apabila menampilkan kelainan dalam pembuatan fizikal antaramuka peranti terbabit.
Telefon pintar berasaskan Android 2.2 itu mempunyai skrin 3.5 inci setiap satu dan boleh ditukar kepada tablet jika kedua-dua skrin bergabung menghasilkan paparan 7 inci keseluruhan.

Ia tampil dengan kamera 5.0 megapiksel dengan flash dan zum digital selain mampu merekod video format 720 piksel HD.


Kyocera membenarkan peranti dijadikan ‘hotspot’ dengan lima peranti lain boleh diakses secara maksimum.


Pemprosesannya dipelopori 1GHz Snapdragon dengan slot kad memori microSD yang siap diberikan secara percuma berkapasiti 8GB.