Sunday, June 2, 2013

BlackBerry Q5 | Harga Murah Untuk Pasaran Baru


ORLANDO, Florida: Research In Motion (RIM) memperkenalkan BlackBerry dengan harga lebih rendah yang disasarkan kepada pelanggan di pasaran baru muncul sejajar dengan usahanya untuk meningkatkan penguasaan pasarannya yang ketinggalan kepada iPhone keluaran Apple dan peranti Android yang disokong perisian Google.

Gajet yang dikenali Q5 adalah telefon pintar ketiga keluaran syarikat itu yang akan menggunakan sistem operasi baru BlackBerry 10.

Ia akan mempunyai papan kekunci fizikal, sesuatu yang menjadikan peranti keluaran RIM itu berbeza berbanding iPhone dan sebahagian besar telefon Android.

Ketua Eksekutif RIM, Thorsten Heins, berkata peranti itu yang ‘nipis dan bergaya’ boleh didapati dalam empat warna iaitu merah, hitam, putih dan merah jambu.

Beliau mengumumkan pengenalan telefon berkenaan pada pembukaan persidangan tahunan tiga hari RIM di Orlando, Florida.

Telefon pintar itu akan berada di pasaran Eropah, Asia Barat, Afrika, Asia (termasuk rantau Asia Pasifik) dan Amerika Latin bermula Julai ini. Gajet Q5 itu tidak dijangka akan dipasarkan di Amerika Utara setakat ini. Syarikat itu tidak mengumumkan harga telefon baru itu.

Q10, iaitu BlackBerry berteknologi tinggi sudah dipasarkan di kebanyakan pasaran, namun pelancarannya di Amerika Syarikat (AS) ditangguhkan pada bulan depan.

Penangguhan pelancaran di AS itu merumitkan usaha RIM bagi menarik perhatian pengguna iPhone dan telefon pintar Android. Walaupun BlackBerry ketinggalan berbanding pesaingnya dalam beberapa tahun lalu, kebanyakan pengguna masih kekal setia kerana mereka lebih suka papan kekunci fizikal berbanding skrin sentuh.

Q5 sedikit berbeza berbanding Q10. Kedua-duanya mempunyai RAM 2GB, tetapi Q5 mempunyai hanya 8GB memori terbina dalam berbanding 16GB bagi Q10.

Kedua-dua telefon pintar itu mempunyai kamera depan dua megapiksel tetapi Q5 mempunyai kamera belakang lima megapiksel berbanding Q10 yang mempunyai lapan megapiksel dan juga mempunyai video rakaman berdefinasi tinggi.

Q5 mempunyai paparan LCD 3.1 inci sementara Q10 dilengkapkan dengan paparan LED 3.1 inci.

RIM memperkenalkan BlackBerry baru tahun ini selepas penangguhan yang memberi laluan kepada Apple dan pengeluar telefon pintar lain terus memperluaskan pasaran global mereka.

Peranti ikonik RIM, BlackBerry, diperkenalkan pada 1999, menjadi telefon pintar terkemuka bagi ahli perniagaan dan pelanggan selama hampir satu dekad.

Namun begitu, pesaingnya mengeluarkan telefon generasi baru yang boleh digunakan lebih daripada e-mail dan pesanan ringkas, bermula dengan iPhone pada 2007 dan kemudian diikuti peranti yang disokong sistem Android Google.

- AP

No comments:

Post a Comment