Saturday, June 15, 2013

Industri Baja Arang Batu


Industri perlombongan arang batu berkualiti tinggi sepenuhnya perlu untuk menjana tenaga elektrik negara dalam memastikan aktiviti perindustrian dan kegunaan domestik dapat dipenuhi.

Penghasilan arang batu negara ketika ini masih tertumpu di Sarawak dengan pengeluarannya membabitkan ratusan juta tan untuk menyokong pembekalan kuasa elektrik.

Tidak semua arang batu dilonggokkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya terutama pada lapisan permukaan teratas yang dianggap sebagai bahan terbuang kerana sudah teroksida secara semula jadi.

Apabila keadaan ini berlaku, arang batu yang tidak digunakan terpaksa diasing­kan pada satu bahagian lain kerana tidak memenuhi keperluan karbon diperlukan industri.

Ini kerana arang batu jenis ini tidak sesuai digunakan untuk penjanaan tenaga berikutan kandungan karbon rendah di bawah 50 peratus.

Arang batu berkualiti rendah ini adalah bahan buangan, malah penduduk juga tidak dibenarkan meng­gunakannya untuk membakar makanan ataupun sebarang aktiviti pembakaran terbuka kerana ia membebaskan gas sulfur bertoksik dan mencemarkan alam sekitar.

Dalam menjamin kelestarian alam sekitar, penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan baja penggalak daripada arang batu berkualiti rendah menerusi teknologi ‘pengekstrakan asid nitrohumik (NHA)’.

Kajian itu dilakukan Pegawai Penyelidik, Program Pengurusan Air dan Tanah, Pusat Penyelidikan Strategik, Muhammad Syahren Adzahar secara berterusan sejak sepuluh tahun lalu.

Bermula 2003, beberapa peringkat penyelidikan dilakukan terhadap arang batu termasuk kajian secara makmal untuk mendapatkan asid humik berkualiti tinggi, penciptaan formula baja berasaskan NHA, ujian di lapangan dan penghasilan produk berskala besar bagi tujuan pengkomersialan.

Pemilik Ijazah Sarjana Kimia Industri Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, kajian secara berterusan dilakukan dalam makmal berjaya menghasilkan NHA yang akhirnya berjaya diproses secara komersial untuk digunakan dalam formulasi baja.

“Arang batu jenis sub-bitumen dan lignit tempatan yang berkualiti rendah ba­nyak diperoleh di Mukah dan Kapit, Sarawak.

“Justeru teknologi peng­ekstrakan NHA dihasilkan amat berkesan, konsisten, mesra alam dan dapat dikeluarkan pada skala besar dengan kos yang rendah,” katanya.

Menurutnya, asid humik (HA) digunakan dengan meluas sebagai ejen pengikat dalam formulasi baja cecair serta bahan penambah dalam sebatian baja.

“HA tidak termasuk dalam kategori baja organik bagi kegunaan tanaman organik kerana cara peng­ekstrakan arang batu meng­gunakan kaedah kimia, namun ia masih boleh dipanggil baja berasaskan organik,” kata­nya.

HA membuatkan baja kimia lebih efisien, selain menambah kesuburan tanah kerana keupayaannya memegang nutrien lebih lama, sekali gus menjadikan pokok dapat menyerap nutrien de­ngan lebih berkesan dan mengurangkan larut resap.

“Baja yang terlarut resap berlaku apabila kandungan kimianya mengalir ke ­dalam tanah dan seterusnya ke dalam sungai melalui aliran bawah tanah menyebabkan masalah pencemaran dan gangguan ekologi sungai.

“Sebagai contoh baja urea kebiasaannya akan hilang dalam tempoh dua minggu akibat proses larut resap, namun dengan adanya HA membolehkan kandungan nutrien kekal dalam tempoh sebulan, menjadikan baja lebih efisien dapat melepaskan nutrien secara perlahan dan baik untuk alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, secara semula jadi penghasilan atau degradasi humus arang batu mengambil masa beribu-ribu tahun.

Namun, dengan kaedah pengekstrakan yang dibangunkan dalam makmal melalui kaedah ‘artificial’ berjaya mengekstrak NHA sehingga 80 peratus berbanding 10 peratus sebelum ini.

“Pengkomersialan HA tidak dapat dilakukan sekiranya jumlah pengeluarannya sekitar 10 peratus saja, selain keadaan arang batu di negara ini masih baru dan tidak cukup teroksida,” katanya.

NHA digunakan sebagai perapi tanah, bahan larutan dalam baja cecair, penyalut baja butiran, bahan tambahan dalam sebatian baja dan agen penglikatan.

Ia boleh digunakan dalam menghasilkan formulasi baja foliar (semburan) bagi memenuhi keperluan spesifik sesuatu tanaman seperti padi, cili dan tomato.

Dalam memastikan keberkesanannya, satu percubaan tanaman padi secara kawalan dan komersial sudah dijalankan secara meluas.

“Kami sudah menjalankan projek perintis menerusi jalinan kerjasama bersama petani komersial dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

“Kesannya terdapat peningkatan hasil yang konsisten sebanyak satu tan sehektar. Jika pengeluaran padi pada kebiasaannya sekitar tujuh tan, hasilnya mening­kat kepada lapan tan,” katanya.

Katanya, tanaman padi ­di negara ini sudah pun menggunakan pelbagai jenis baja menerusi rancangan subsidi baja kerajaan menyebabkan pendekatan dibangunkan ini lebih tertumpu kepada formulasi baja cecair berasaskan NHA hanya bagi meningkatkan peratusan bijiran padi.

“Pengisian bijiran padi kebiasaannya sekitar 60 hing­ga 65 peratus, manakala baki 35 peratus pula kosong. Penggunaan NHA sebagai pembawa nutrien membolehkan formulasi nutrien dibekalkan secukupnya, selain ketepatan masa aplikasi dalam memastikan pengisian isi bijiran padi penuh.

“Ia sekali gus meningkat­kan pengisian sebanyak 10 hingga 20 peratus iaitu kepada 75 hingga 85 peratus pe­ngisian,” katanya.

Selain padi, NHA juga dapat meningkatkan hasil buah dan kesihatan pokok cili dan tomato.

“Jangka masa tuaian cili boleh meningkat sehingga lapan bulan, manakala teras tomato akan meningkat daripada 10 kepada 13 teras.

“Kegagalan pokok terbabit menyerap nutrien secara berkesan menyebabkan berlaku rekahan pada hujung buah cili dan tomato, namun sebaik disembur dengan formulasi NHA, keadaan buah bertambah cantik dan sihat,” katanya.

Semburan pertama dilakukan apabila muncul tanda pendebungaan dan sekali lagi selepas 10 hari semburan pertama bagi mendapatkan aplikasi sepenuhnya pendebungaan pokok padi.

“Keadaan itu (permulaan pendebungaan) menjadi tempoh paling kritikal kepada padi dan proses untuk mengisi bijiran padi. Dalam tempoh dua minggu itu, semburan NHA perlu dilakukan.

“Fisiologi padi berbeza. Dalam kajian tidak semua padi mengeluarkan bu­nga serentak dan ketika padi berusia 75 hingga 79 hari semburan perlu dilakukan dan kali kedua selepas 10 hari bagi yang berbunga lewat,” katanya.

Bagi sehektar padi sekitar enam liter semburan diperlukan dengan nisbah pencairan sebanyak 100 kali.

Teknologi berkenaan mengharumkan nama negara berikutan kejayaannya meraih Pingat Emas pada Pameran Brussels Eureka dan Brussels Innova Energy pada 2007 di Belgium bagi kategori pertanian.

Kecemerlangan teknologi berkenaan dibuktikan untuk kali kedua apabila sekali lagi merangkul pingat emas dalam kategori teknologi kimia industri pada Pameran Idea Invention New Products di Nuremberg, Jerman.

MARDI kini bekerjasama dengan syarikat input terkenal CCM Fertilizer Sdn Bhd dalam membangunkan ekstrak baja NHA di kilang perintis di Shah Alam, Sela­ngor.

- HM

No comments:

Post a Comment