Sunday, June 16, 2013

Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) | Coach and Grow (CGP)


Agensi di bawah Kementerian Kewangan (MOF), Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) yang menguruskan dana pengkomersialan teknologi di Malaysia berhasrat untuk melatih 150 usahawan teknologi menerusi Program ‘Coach and Grow’ (CGP) tahun.

Ia sekali gus menggerakkan syarikat teknologi tempatan keluar daripada tahap pembangunan ke tahap pengkomersialan.

Ketua Pegawai Kewa­ngan dan Naib Presiden Pelaburannya, Ahmad Rizal Abd Razak berkata, sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk program 12 bulan itu yang terbahagi kepada tiga peringkat iaitu latihan dan pemantauan selain acara pameran.

“Kami mahu melahirkan usahawan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berdasarkan program mentor dalam CGP,” katanya ketika ditemubual it@Metro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Katanya, CGP diilham­kan industri sendiri untuk menangani cabaran golo­ngan usahawan teknologi terutama membabitkan sebab utama mengapa banyak di kalangan mereka gagal mengembangkan perniagaan di peringkat penting kitaran pertumbuhan syarikat masing-masing.


Program CGP ini sudah dimulakan secara rasmi pada 25 Julai 2011 membabitkan organisasi dan agensi yang menyokong seperti Proficeo, Technopreneurs Association of Malaysia (TeAM), Malaysian Venture Capital Association (MVCA) dan Malaysian Venture Capital Development Council (MVCDC), sebuah agensi di bawah pentadbiran Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Antara bentuk inisiatif baru yang akan dilaksanakan nanti termasuk membantu usahawan dalam mempromosikan produk mereka ke peringkat global,” katanya.
Menurutnya, satu ciri khas CGP adalah ia bimbi­ngan kerjasama dengan sek­tor swasta untuk memba­ngunkan sebuah ekosistem lebih kukuh.

“Secara tidak langsung, ia mewujudkan satu saluran syarikat berkualiti tinggi yang boleh mengembang­kan perniagaan mereka secara besar-besaran ke tahap yang seterusnya dan dapat menarik agensi penyedia dana, pelabur budiman dan pemodal teroka,” katanya.

Bagi memastikan ukuran kejayaan program yang relevan dan tepat, penanda aras prestasi (KPI) utama untuk program CGP ini adalah semua syarikat mesti menunjukkan pertumbuhan jualan 20 peratus dalam tempoh bimbingan CGP selama 12 bulan itu atau membuat perancangan terperinci untuk menembusi pasaran serantau atau pasaran asing yang baru.

Tahun pertama CGP menyaksikan 570 syarikat dilatih dalam peringkat pertama dan 420 lagi dipilih melepasi peringkat kedua.

Jumlah itu melepasi sasaran 500 syarikat yang mahu dilatih pada peringkat pertama dan 300 syarikat dalam peringkat kedua.

-HM

No comments:

Post a Comment