Thursday, June 20, 2013

Pertandingan SME's Innovate | Kerjasama MOSTI & MTDC


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) akan mengadakan pertandingan SME's Innovate bagi mengetengahkan 10 inovasi terbaik yang dihasilkan oleh pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Menterinya, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, pertandingan peringkat kebangsaan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman inovasi serta kreativiti dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menurutnya, pertandingan tersebut merupakan kesinambungan daripada program Malaysia Inovatif 2010 dan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi 2012.

"Pertandingan yang bertemakan 'Doing Well by Doing Good' itu akan berlangsung selama dua bulan mulai hari ini sehingga 19 Ogos ini.

"Pertandingan ini terbuka kepada semua SME bagi reka cipta dan menghasilkan produk-produk inovasi kos rendah, mampu dimiliki, mudah diperoleh dan mapan untuk golongan yang kurang bernasib baik serta kurang kemampuan," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan SME's Innovate di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus ke majlis tersebut.

Sementara itu Norhalim memberitahu, pihaknya akan menentukan tiga pemenang utama daripada 10 inovasi terbaik yang dipilih nanti.

"Kita bercadang memperuntukkan bajet kira-kira RM100,000 untuk hadiah bagi ketiga-tiga pemenang namun jumlahnya belum ditentukan lagi," katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut memberitahu, bagi mencapai matlamat negara maju menjelang 2020, Malaysia memerlukan usahawan celik teknologi, berdaya saing, inovatif dan kreatif dalam bentuk ekosistem industri yang baik serta kukuh setanding dengan negara luar.

Jelas beliau, pendedahan di peringkat awal kepada kumpulan akar umbi mampu membentuk kumpulan industri yang kukuh dan mapan sekali gus negara ini tidak perlu bergantung teknologi luar.

- Utusan

No comments:

Post a Comment